Thursday, November 18, 2010

TERIMA KASIH ZAID!

Saranan dan gagasan politik baru yang berideakan agenda reform khususnya kepada urus tadbir negara yang telus serta pengagihan adil dan cemerlang bersambut lantaran UMNO-BN gagal dari segala segi. Rakyat gembira dan menanti penuh harapan. 2008 merubah suasana, walaupun federal masih milik UMNO-BN namun Pakatan Rakyat(PR) diberikan peluang mentadbir beberapa buah negeri. Masa bercakap sudah berlalu kini tinggal perlaksanaan.

Walaupun dalam tempoh perlaksanaan ada kekurangan, rakyak tetap sabar dan menunggu penuh harap. Kerana mereka sedar keterbatasan upaya negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat(PR). Selagi federal tidak dikuasai selagi itu ruang untuk UMNO-BN memanupulasi keadaan cukup tinggi khususnya di negeri-negeri yang di perintah Pakatan Rakyat(PR).

Namun ada perkara yang membuat rakyat tidak dapat menahan sabar dan naik muak apabila permainan politik dalaman parti-parti Pakatan Rakyat(PR) masih jelas kelihatan cara UMNO-BN. DAP dengan isu kronisme kepimpinan serta isu pilih bulu dan PAS sekitar isu Erdogan vs Kerajaan Perpaduan, namun PKR lebih menyerlah dan cukup mendapat perhatian UMNO-BN untuk bersama-sama dengan “berbesar hati” menolong menyerlahkan lagi isu-isu dalaman yang berlaku. Paling hebat mendapat perhatian media arus perdana ialah berkenaan isu pemilihan PKR 2010.

Umum tidaklah menghairankan UMNO-BN terliur untuk terus-terusan menganyang PKR kerana di atas dua faktor iaitu faktor penyatu yang ada pada Dato Seri Anwar Ibrahim. Ketokohan beliau mencatatkan sejarah politik tanah air bila mana parti PAS dan DAP sudi duduk bersama PKR membentuk Pakatan Rakyat(PR), kedudukan yang cukup mengancam adikuasa UMNO-BN tambahan menjelang PRU 13 . Sefaktor lagi ialah PKR sebagai pesaing UMNO dari segmen pasaran politik orang Melayu walaupun diakui sasaran keanggotaannya menterjemahkan posisi kaum di Malaysia. Diakui ramai masih terdapat ahli UMNO yang terpikat secara langsung atau tidak langsung kepada parti ini. Cuma keadaan atau suasana yang menghalang mereka untuk memberikan sokongan secara terbuka.

Bagi orang Melayu kategori “fencesitter”, UMNO-BN sudah tidak boleh diharapkan lagi cuma kini terserah kepada PKR dan rakan Pakatan Rakyat(PR) mengolah suasana ini untuk menggarap sokongan sama ada untuk menjadi anggota ataupun menterjemahkan sokongan kepada bentuk undi pada PRU ke 13 nanti. Untuk mereka ini pimpinan Pakatan Rakyat(PR) khususnya PKR perlu mengerti fitrah budaya orang Melayu sebelum boleh menawan hati mereka. Orang melayu, mereka lebih senang dan terkesan dengan suasana aman serta lancar dan ini termasuk bagi perjalanan sesebuah organisasi. Setakat ini PKR belum menunjukkan prestasi yang membanggakan dari segi maksud “aman serta lancar” itu.

Namun harapan untuk aman serta lancar kelihatan masih “jauh panggang dari api” lantaran kerenah pemimpin-pemimpin “nakal” yang mewarnai pemilihan satu undi satu ahli yang julung diperkenalkan. Menghairankan dan lebih mengaibkan adalah “aksi sampingan” berikutan pemilihan ini. Aksi yang menyumbang “talian hayat” kepada UMNO-BN. UMNO-BN memalu gendang, mereka terloncat-loncat menari macam beruk tertelan belacan malah terus berdendangan bersiulan ke serata walaupun gendang telah henti dipalu. Makin hampir ke Putrajaya semakin hilang fokus dan tidak siuman.

Umum dapat melihat bagaimana tidak bersedianya ahli parti untuk mendakap rapat aspirasi politik baru. Lain di mulut lain di hati dan tindakan. Christoper dengan cara Christoper, Rahman dengan cara Rahman. Macam budak tak cukup sifat. Di mana boleh kencing, mereka kencing. Orang melihat apa peduli! Bergaduh sampai adab dikesampingkan. Justeru tidak menghairankan jika ada penembak curi atas nama demokrasi akan menyerang hendap.

Kesudahnya telahan menjadi kenyataan, krisis kini memuncak. Zaid bertindak “membakar jambatan” , seorang lagi “main sembunyi-sembunyi” di sebalik lalang dan seorang lagi a.k.a “anak papa” seperti sedari awal terus-terusan berpaut erat di celah haruman ketiak.

Hakikatnya apa yang terjadi telah pun terjadi cuma apa yang ditunggu oleh ahli, rakan Pakatan Rakyat(PR) dan rakyat umumnya ialah sebaik mana Control Damage yang mampu diambil oleh pucuk kepimpinan PKR. Sejarah politik dunia mengkisahkan kepelbagaian permasalahan yang lebih besar namun jua rakyat melihat kepada ending sesebuah peristiwa itu sebagai garis akhir untuk menilai secara keseluruhan keupayaan serta wibawa organisasi tersebut. Seperti perlawanan bolasepak keputusan akhir yang tetap penting. Terserah, setiap tindakan akan ada reaksi maka jika mengharapkan reaksi yang positif maka seharusnya tindakan yang bakal diambil juga menyenangkan semua pihak.

Namun setakat ini Control Damage diambil “kelihatan” agak baik untuk PKR walaupun persoalan hakiki belum terungkai. Berikutan tindakan Zaid membakar jambatan, pantas diambil sebagai “modal yang maha agung” oleh beberapa pimpinan PKR untuk menyerang wibawa beliau lantas mengalih isu sebenar berkaitan pemilihan. Tindakan bodoh Zaid juga seolah-olah “mengesahkan” apa yang selama ini isu-isu yang dibangkitkan oleh pesaing-pesaing beliau. Serangan tersusun tersebut seolah-olah julap atau pelincir yang mujarab untuk “membantu” Zaid bertindak mengelincirkan dirinya dari PKR . Control damage yang jelek tetapi berkesan. Selepas ini PKR pasti tenang dan ahli serta penyokong akhirnya terduduk faham bahawa si trojan horse inilah punca segalanya, bukan ketidak-profesionalan JPP, bukan dek kelaku anak papa dan juak-juaknya. Maka inilah justifikasi yang dicanangkan kepada ahli bawahan bahawa wajib dan betul tindakan untuk mengelincirkan Zaid keluar dari PKR. Canangan ini telah pun menyusup ke cabang-cabang seluruh Malaysia.

Hari ini anak papa menghela nafas lega, perkara busuk dapat ditampung untuk ke sekian kalinya. Malang Zaid terus-terusan tanpa ikhtibar mengusahakan diri untuk dilihat umum sebagai politikus pondan dan cepat mengalah terus memperlecehkan reputasinya.

Apa pun terima kasih Zaid kerana tindakan bodoh kamu “menyelamatkan” PKR dan kepada si anak papa dan juak-juaknya janganlah terlalu gembira. Majoriti ahli PKR yang cerah otak tahu apa yang berlaku. Tanda “cacat” akan kekal dengan tandanya walaupun sehingga liang kubur. Perjalanan masih panjang! Berubahlah…!

1 comment:

  1. hentikan segera pemilihan yg semakin mengarut ni dan adakan semula pemilihan dgn melantik PAS sebagai badan yg bertindak utk menguruskan soal pemilihan dan bukan JPP supaya pemilihan ini tidak BIAS. dan ini juga menunjukkan ikatan setiakawan dlm PR bertambah utuh. keadilan harus ditegakkan dlm PKR.
    kita bukan OBSES dgn DSAI, kita buakn OBSES dgn Zaid, kita bukan OBSES dgn Azmin tapi kita OBSES dgn tunjang dan tujuan asal penubuhan PKR iaitu utk menegakkan KEADILAN dlm sistem pemerintahan Malaysia..
    buat pemilihan semula dgn lebih telus kerana rakyat memerhati dan anggota parti sudah ada yg panas hati kerana aduan mereka dikesampingkan oleh pihak JPP..

    ReplyDelete