Sunday, December 5, 2010

DSAI di Changkat Jering


Dato' Seri Anwar Ibrahim akan bertandang dan berprogram di Changkat Jering pada 18 Dis 2010. Maklumat lanjut akan meyusul. Sini

Friday, November 19, 2010

ROBESPIERRE Vs DANTON

Menarik sekali ungkapan Gracenus Babeuf di tahun 1795 mengenai Robespierre Maximilien yang menjadi mangsa serangan tak bermoral. Musuhnya Danton adalah seorang pemimpin Revolusi Perancis yang mempamerkan nafsu dan kegilaannya pada duit, kekuasaan dan sikap merendahkan nilai-nilai sivik. Danton kononnya cinta kepada Republik Perancis tetapi pandangannya tentang Republik itu adalah tempat ahli Revolusi menggantikan golongan bangsawan yang digulingkan itu. Sebagaimana mereka, ahli-ahli Revolusi ini akan mengumpulkan emas, harta, istana, gundik-gundik serta segalanya yang memberikan nikmat.¹

Apakah ini yang dikehendaki oleh Robespierre? Tidak! Yang mengerakkan jiwa Robespierre adalah keadilan social(social justice) dan kemajuan manusia. Rakan revolusi lainnya seperti Danton hanya ingin menggantikan mereka yang digulingkan. Ini satu masalah besar. Adakah yang menggantikan pimpinan itu hanya mengganti tempat atau mengganti sifat? Setiap perjuangan yang sejati akan mengganti sifat keadaan yang perlu diubah, bukan sekadar mengganti tempat duduk dari bawah naik ke atas atau dari samping geser ke tengah, akhirnya jatuh kerana lengah, setelah hidup terlalu mewah, derita rakyat tidak diendah.²

Bercakap soal serangan tak bermoral dulu tokoh agung reformasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah terkena. Kita lekas bangkit mempertahankan kerana kita muak dengan permainan begitu. Harapan kita biarlah ianya yang terakhir. Mohon tidak mahu lagi kelaku jelek UMNO-BN membudaya . Kita impikan persaingan politik atas keupayaan dan idea yang ditawarkan, politik baru. Namun usaha selama lebih 10 tahun masih belum cukup tercerna. Masih kedapatan ahli yang terliur cara lama. Nah kini Zaid terkena! Soal Zaid salah atau tidak itu perkara kedua tetapi yang utama adalah kaedah dan cara kita berurusan menangani situasi tersebut. Kalau Zaid mahu sesat biarkan tetapi kita jangan turut sesat!

Ada berkata itu perkara biasa, masa suka segalanya indah dan harum tetapi bila tidak suka mulalah timbul perkara-perkara yang kita sendiri pun tidak terfikir! Ini budaya politik UMNO-BN! Ada juga berpandangan tidak perlu kita menjadikan UMNO-BN sebagai benchmark, tetapi kita juga harus faham setakat hari ini realitinya rakyat gemar melihat dari contoh yang dekat .

Bagi kita pendokong reformasi tiada istilah “perkara biasa” untuk kes-kes seperti itu. Ianya adalah perkara “luar biasa” dan aib bagi kita. Melainkanlah masih ada “hantu” Danton di dalam diri. Justeru antara Robespierre dan Danton, manakah matlamat kita? Fikir-fikirkanlah.

Nota: 1. & 2. KEADILAN SOSIAL TUNTUTAN MUTLAK- Dr. Syed Hussein Alatas

Thursday, November 18, 2010

TERIMA KASIH ZAID!

Saranan dan gagasan politik baru yang berideakan agenda reform khususnya kepada urus tadbir negara yang telus serta pengagihan adil dan cemerlang bersambut lantaran UMNO-BN gagal dari segala segi. Rakyat gembira dan menanti penuh harapan. 2008 merubah suasana, walaupun federal masih milik UMNO-BN namun Pakatan Rakyat(PR) diberikan peluang mentadbir beberapa buah negeri. Masa bercakap sudah berlalu kini tinggal perlaksanaan.

Walaupun dalam tempoh perlaksanaan ada kekurangan, rakyak tetap sabar dan menunggu penuh harap. Kerana mereka sedar keterbatasan upaya negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat(PR). Selagi federal tidak dikuasai selagi itu ruang untuk UMNO-BN memanupulasi keadaan cukup tinggi khususnya di negeri-negeri yang di perintah Pakatan Rakyat(PR).

Namun ada perkara yang membuat rakyat tidak dapat menahan sabar dan naik muak apabila permainan politik dalaman parti-parti Pakatan Rakyat(PR) masih jelas kelihatan cara UMNO-BN. DAP dengan isu kronisme kepimpinan serta isu pilih bulu dan PAS sekitar isu Erdogan vs Kerajaan Perpaduan, namun PKR lebih menyerlah dan cukup mendapat perhatian UMNO-BN untuk bersama-sama dengan “berbesar hati” menolong menyerlahkan lagi isu-isu dalaman yang berlaku. Paling hebat mendapat perhatian media arus perdana ialah berkenaan isu pemilihan PKR 2010.

Umum tidaklah menghairankan UMNO-BN terliur untuk terus-terusan menganyang PKR kerana di atas dua faktor iaitu faktor penyatu yang ada pada Dato Seri Anwar Ibrahim. Ketokohan beliau mencatatkan sejarah politik tanah air bila mana parti PAS dan DAP sudi duduk bersama PKR membentuk Pakatan Rakyat(PR), kedudukan yang cukup mengancam adikuasa UMNO-BN tambahan menjelang PRU 13 . Sefaktor lagi ialah PKR sebagai pesaing UMNO dari segmen pasaran politik orang Melayu walaupun diakui sasaran keanggotaannya menterjemahkan posisi kaum di Malaysia. Diakui ramai masih terdapat ahli UMNO yang terpikat secara langsung atau tidak langsung kepada parti ini. Cuma keadaan atau suasana yang menghalang mereka untuk memberikan sokongan secara terbuka.

Bagi orang Melayu kategori “fencesitter”, UMNO-BN sudah tidak boleh diharapkan lagi cuma kini terserah kepada PKR dan rakan Pakatan Rakyat(PR) mengolah suasana ini untuk menggarap sokongan sama ada untuk menjadi anggota ataupun menterjemahkan sokongan kepada bentuk undi pada PRU ke 13 nanti. Untuk mereka ini pimpinan Pakatan Rakyat(PR) khususnya PKR perlu mengerti fitrah budaya orang Melayu sebelum boleh menawan hati mereka. Orang melayu, mereka lebih senang dan terkesan dengan suasana aman serta lancar dan ini termasuk bagi perjalanan sesebuah organisasi. Setakat ini PKR belum menunjukkan prestasi yang membanggakan dari segi maksud “aman serta lancar” itu.

Namun harapan untuk aman serta lancar kelihatan masih “jauh panggang dari api” lantaran kerenah pemimpin-pemimpin “nakal” yang mewarnai pemilihan satu undi satu ahli yang julung diperkenalkan. Menghairankan dan lebih mengaibkan adalah “aksi sampingan” berikutan pemilihan ini. Aksi yang menyumbang “talian hayat” kepada UMNO-BN. UMNO-BN memalu gendang, mereka terloncat-loncat menari macam beruk tertelan belacan malah terus berdendangan bersiulan ke serata walaupun gendang telah henti dipalu. Makin hampir ke Putrajaya semakin hilang fokus dan tidak siuman.

Umum dapat melihat bagaimana tidak bersedianya ahli parti untuk mendakap rapat aspirasi politik baru. Lain di mulut lain di hati dan tindakan. Christoper dengan cara Christoper, Rahman dengan cara Rahman. Macam budak tak cukup sifat. Di mana boleh kencing, mereka kencing. Orang melihat apa peduli! Bergaduh sampai adab dikesampingkan. Justeru tidak menghairankan jika ada penembak curi atas nama demokrasi akan menyerang hendap.

Kesudahnya telahan menjadi kenyataan, krisis kini memuncak. Zaid bertindak “membakar jambatan” , seorang lagi “main sembunyi-sembunyi” di sebalik lalang dan seorang lagi a.k.a “anak papa” seperti sedari awal terus-terusan berpaut erat di celah haruman ketiak.

Hakikatnya apa yang terjadi telah pun terjadi cuma apa yang ditunggu oleh ahli, rakan Pakatan Rakyat(PR) dan rakyat umumnya ialah sebaik mana Control Damage yang mampu diambil oleh pucuk kepimpinan PKR. Sejarah politik dunia mengkisahkan kepelbagaian permasalahan yang lebih besar namun jua rakyat melihat kepada ending sesebuah peristiwa itu sebagai garis akhir untuk menilai secara keseluruhan keupayaan serta wibawa organisasi tersebut. Seperti perlawanan bolasepak keputusan akhir yang tetap penting. Terserah, setiap tindakan akan ada reaksi maka jika mengharapkan reaksi yang positif maka seharusnya tindakan yang bakal diambil juga menyenangkan semua pihak.

Namun setakat ini Control Damage diambil “kelihatan” agak baik untuk PKR walaupun persoalan hakiki belum terungkai. Berikutan tindakan Zaid membakar jambatan, pantas diambil sebagai “modal yang maha agung” oleh beberapa pimpinan PKR untuk menyerang wibawa beliau lantas mengalih isu sebenar berkaitan pemilihan. Tindakan bodoh Zaid juga seolah-olah “mengesahkan” apa yang selama ini isu-isu yang dibangkitkan oleh pesaing-pesaing beliau. Serangan tersusun tersebut seolah-olah julap atau pelincir yang mujarab untuk “membantu” Zaid bertindak mengelincirkan dirinya dari PKR . Control damage yang jelek tetapi berkesan. Selepas ini PKR pasti tenang dan ahli serta penyokong akhirnya terduduk faham bahawa si trojan horse inilah punca segalanya, bukan ketidak-profesionalan JPP, bukan dek kelaku anak papa dan juak-juaknya. Maka inilah justifikasi yang dicanangkan kepada ahli bawahan bahawa wajib dan betul tindakan untuk mengelincirkan Zaid keluar dari PKR. Canangan ini telah pun menyusup ke cabang-cabang seluruh Malaysia.

Hari ini anak papa menghela nafas lega, perkara busuk dapat ditampung untuk ke sekian kalinya. Malang Zaid terus-terusan tanpa ikhtibar mengusahakan diri untuk dilihat umum sebagai politikus pondan dan cepat mengalah terus memperlecehkan reputasinya.

Apa pun terima kasih Zaid kerana tindakan bodoh kamu “menyelamatkan” PKR dan kepada si anak papa dan juak-juaknya janganlah terlalu gembira. Majoriti ahli PKR yang cerah otak tahu apa yang berlaku. Tanda “cacat” akan kekal dengan tandanya walaupun sehingga liang kubur. Perjalanan masih panjang! Berubahlah…!

Friday, November 5, 2010

Kalau saya masih dalam PKR, saya akan pilih Zaid Ibrahim

Zukri Aksah | Nov 03, 2010 03:12:05 pm



Tidak salah sebenarnya untuk mengangkat seseorang yang ada latar belakang kepimpinan UMNO atau BN sebelum ini ke posisi tertinggi yang mungkin dalam PKR. Dalam kehangatan kempen pemilihan PKR sekarang, isu ini tidak sewajarnya dimainkan, lainlah jika ada orang yang boleh menemukan persamaan antara susuk Zaid Ibrahim dengan mana-mana "tokoh" dalam Konsensus Bebas di parlimen.

Kita kena ingat, Nabi Musa lahir dari dokongan Firaun. Sebagaimana Masyitah, si tukang sisir puteri Firaun yang Muslim dalam istana Firaun, Zaid juga ketika masih lagi di dalam UMNO sudah menunjukkan bahawa dia menganut banyak agenda yang diperjuangkan PKR, termasuk Negara Berperlembagaan, mengangkat keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang serta mempertahankan doktrin pemisahan kuasa.

Ini dibuktikannya bila sewaktu menjawat jawatan Menteri Undang-Undang (baca: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri), Zaid telah meluluskan pembayaran gratuiti kepada bekas-bekas hakim yang telah dipecat di era Mahathir, termasuklah Salleh Abbas, yang sudah sah seorang ahli PAS, pernah bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya, dan pernah menjadi Exco Hisbah dalam Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kekuasaan PAS dari 1999 – 2004. Nyata prinsip yang dipegangnya melangkaui taksub politik.

Masyitah bersama anak-anaknya direbus hidup-hidup oleh Firaun, Zaid Ibrahim dipecat dari UMNO. Tetapi bila Zaid memilih untuk mencari ruang kepimpinan dalam PKR, apakah akan ada orang PKR pula yang mahu "merebus" Zaid?

Memang mungkin Zaid ada cerita gelap pasal hobi peribadinya satu ketika dahulu. Zaid ketika itu hidup dalam istana UMNO, secara umumnya saya boleh katakan Nabi Musa, ketika hidup di istana Firaun, makan apa yang Firaun makan, minum apa yang Firaun minum. Tetapi selepas wahyu kenabian, Nabi Musa adalah manusia baru yang dibersihkan Tuhan.

Maka ketika dalam istana UMNO, Zaid juga makan apa yang UMNO makan, minum apa yang UMNO minum. Saya suka membaca biografi, saya membaca biografi Almarhum Tunku, saya juga membaca biografi Allayarham Dr. Ismail, kedua-duanya dicerita sebagai "peminum", harus dinyatakan di sini, biografi Almarhum Tunku yang saya baca adalah tulisan Ramlah Adam, yang dikenal sebagai profesor UMNO, buku itu pula diterbitkan oleh DBP.

Cerita Nabi Musa dan Masyitah mungkin contoh yang terlalu besar untuk digandingkan dengan Zaid. Hakikat bahawa Anwar Ibrahim juga bekas pemimpin kanan UMNO, bahkan lebih kanan dari Zaid yang kini sedang diyakini memimpin PKR tidak pernah diperdebatkan kesetiaannya. Kamaruddin Jaafar, juga bekas pemimpin UMNO, pernah dipercaya untuk menjadi Setiausaha Agung PAS, jauh sebelum itu, Kampoo Rajoo, bekas pemimpin BN/Perikatan, pernah beralih ke pembangkang dan kemudiannya menjadi pemimpin aliran kiri yang disegani dan dihormati.

Lalu, kenapa Zaid Ibrahim tidak boleh diberi peluang?

Mungkin saya kelihatan berat sebelah, kerana saya pernah mempertikai perlantikan Fauzi Abdul Rahman, seorang lagi bekas pemimpin kanan Umno (dikenal sebagai sahabat rapat Anwar) sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang. Saya tidak kisah apa yang orang lain kata, kerana saya punya pengalaman peribadi dengan "permainan politik" Fauzi Abd Rahman ini sehari sebelum hari penamaan calon Pilihanraya Umum 2004 (ketika itu Fauzi masih di dalam UMNO). Apa kisahnya saya rasa tidak perlulah saya perturunkan di sini, cukuplah saya katakan tokoh-tokoh dalam PKR Negeri Pahang masih ada untuk menjelaskannya, mereka ialah bekas Pengerusi Perhubungan Keadilan Negeri Pahang, Jefri Rashid, dan Cikgu Dzul, bekas calon Parlimen Indera Mahkota dalam PRU2004 itu, boleh juga bertanya Ezam yang ketika itu Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Saya menyokong Zaid Ibrahim bukan kerana saya kenal rapat dengannya, tidak! Cuma saya memang membaca bukunya, Saya Pun Melayu. Saya juga menyokong Zaid bukan kerana saya benci Azmin, saya tidak punya ikatan atau apa-apa pertalian dengan kumpulan yang menggelarkan diri mereka ABA (Asal Bukan Azmin) itu.

Premis kempen Zaid bahawa ahli perlu melihat parti melangkaui Anwar mengundang sokongan saya, kerana sejak sekian lama, saya juga berpendapat begitu. Sudah tiba masanya ahli PKR secara bersungguh-sungguh memikirkan bagaimanakah bentuk parti ini selepas era Anwar, adakah ia kekal seperti hari ini? Sebuah parti pelbagai kaum dengan dominasi Melayu, PKR membina penampilan yang begitu mempengaruhi persekitaran politik Malaysia kerana bentuk demografiknya benar-benar mewakili bentuk komposisi kaum di Malaysia.

Untuk kekal dalam keadaan begini, PKR mesti terus wujud sebagai parti pelbagai kaum yang dipimpin tokoh Melayu. Saya bukan rasis, bahkan saya begitu menghormati pimpinan-pimpinan muda dalam PKR dari kaum Tionghua seperti Chang Ming Kai dan Jonson Chong, tetapi kita di sini bercakap soal politik "real" di Malaysia.

Persoalannya, siapakah dari barisan kepimpinan Melayu sedia ada dalam PKR yang mampu mengambil-alih dan memimpin parti ini secara "stand alone" dalam ketiadaan Anwar dan Syed Husin, serta dapat pula diterima secara terbuka dan lapang dada oleh fraksi pelbagai kaum yang wujud sekarang ini? Saya tidak mengatakan Azmin Ali tidak hebat, saya juga tidak menafikan kredibiliti Mustafa Kamil Ayub, tetapi saya harus memaksa ahli PKR berfikir apakah akhirnya PKR akan berkesudahan seperti Gerakan? Sebuah parti yang asalnya diasaskan oleh kepimpinan profesional Melayu, dek kerana tiada pelapis pimpinan Melayu yang mampu dominan secara "stand alone" selepas itu, demografik kepimpinan Gerakan akhirnya berubah. Hari ini Gerakan sudah menjadi parti yang dianggap kecil dan tidak berpengaruh.

Mengenali Zaid dari jauh, dialah bagi saya yang berupaya menghalang nasib PKR menjadi seperti Gerakan, kalau tidak, tidak usahlah menggamit mimpi Putrajaya, tidak kesampaian pun!

*Zukri Aksah ialah bekas aktivis keADILan (PKN - PKR), pernah terpilih sebagai Exco AMK selama dua penggal. Beliau meninggalkan PKR pada tahun 2007, kini sebagai kolumnis Harakahdaily.

Thursday, October 28, 2010

ZAID UNTUK RAKYAT

“Politik baru Budaya baru, penawaran serta keupayaan menjadi taruhan. Asasnya kekuatan prinsip dan kekentalan idealisme perjuangan berasaskan NILAI. Bukan isu remeh orang lama atau orang baru, kesetiaan belum teruji dan lebih malang menabur fitnah. Setia sifat terpuji tetapi taklid buta menyanggah aspirasi. Mendepani suasana politik mutaakhir ini, Parti kita yakni PKR mestilah bersifat inklusif bukan eksklusif dan inilah tekad awal penubuhan kita. Kita meraikan semua, pelbagai latar kaum, budaya dan agama. Kepada yang ingin bersama dan menyumbang kita alu-alukan. Justeru manfaatkanlah pemilihan julung ini, 1 ahli 1 undi bermula esok 30 okt 2010. Selamat menunaikan hak kita sebagai ahli”-Datuk Zaid Ibrahim,28 Oktober 2010 Kampar, Perak

Soal Kesetiaan

Isu ini jelas tidak relevan dan lemah tambahan pula jika ianya berkait dengan Parti yang terkedepan di dalam mengusulkan politik baru budaya baru dan juga kaedah 1 ahli 1 undi yang aspirasinya meraikan semua yang ingin menyumbang. Jadi dari segi bahasanya isu ini adalah tertolak dan tidak terpakai.

Bagi yang muslim, menelusuri sirah para sahabat Rasulullah SAW, kisah Saidina Umar ibni al-Khattab, jika Saidina Abu Bakar As Siddiq memikirkan bahawa Saidina Umar ini "baru" maka tidak diangkatnya beliau untuk menjadi penasihatnya malahan dilantik menjadi Khalifah Islam berikutnya selepas beliau. Siapa tidak tahu berkenaan sikap Saidina Umar sebelum Islam. Ganas, zalim, tanam anak hidup-hidup dan peminum arak tegar.

Kenyataan "orang lama orang baru" adalah bodoh sifatnya dan tidak membawa untung kepada keutuhan parti, yang pasti ianya hanya akan menerbitkan tunas-tunas fraksi lama dan baru yang bakal memporak-perandakan kesatuan parti jika ianya dibenarkan berterusan. Terus ianya menjurus kepada "kasta" status keahlian. Kasta di India pun rata-rata rakyatnya campakkan ke longkang, kita pula ingin mengutipnya. Ini jelas berlawanan dengan aspirasi Parti yang meraikan kepelbagaian, dinamika serta organisasi progresif sifatnya. KESETIAAN, kita diajar berkiblatkan kepada prinsip dan idealisme perjuangan parti bukan sosok tubuh. Selagi mana sosok tubuh istiqamah kepada prinsip dan idealisme perjuangan maka jaminan untuk terus mengangkatnya dikotakan. Tiada apa yang perlu dirisaukan.

“Saya adalah orang yang suka berterus-terang..kalau ada masaalah jangan sembunyikan..tetapi biasalah bila kita berterus-terang, akan ada orang yang tidak suka kita. Tetapi kita jangan lupa UMNO-BN menjadi rosak bila mana sindrom penafian(state of denial) ini menjadi popular di bibir pimpinannya..tidak boleh mengkritik..akhirnya budaya Yes Man membarah…realiti dikesampingkan. Bagaimana kita mahu menuju ke Putrajaya dan ingin reform urus tadbir Negara jika kita sendiri tidak bersedia untuk reform kekurangan yang ada di dalam parti..Jika kita berjiwa besar dan realis dengan kekurangan, insyaallah Putrajaya milik kita!”-Datuk Zaid Ibrahim 28 Oktober 2010, Kampar, Perak.

Thursday, October 14, 2010

Pemilihan 2010 : Kita Minum Dulu!


Ok jugak dengan pandangan luar "daerah" bakal calon ketua AMK Pusat ini. Kereta kalu dah rasa macam nak terjun gaung baik singgah puspakom buat pemeriksaan. Tapi dengan syarat bila masuk puspakom tu..pegawai-pegawai bertanggungjawab kena ler periksa betul-betul..bukan main silap mata, cat cilut.. rasuah! Kalau pemeriksaan tu ikut spec. dan telus, bila jalan balik confirmed lancarr..Amacam? kita minum dulu..!!


Mungkin perlu pertimbang tangguh untuk dengar suara akar umbi

Pemilihan KEADILAN 2010 telah benar menarik perhatian dalam dan luar negara. Sepanjang pengalaman termasuk pembacaan belum lagi rasanya mendengar ada parti politik yang berani sejauh ini melebarkan sayap demokrasi dengan memperturunkan kuasa mengundi seperti KEADILAN. Semua ahli boleh memilih dari serendah jawatan sehingga Presiden parti.

Semua ahli boleh bertanding hanya dengan dua pencalonan dari individu di peringkat cabang dan dari dua cabang untuk peringkat pusat termasuk presiden. Dari maklumat pejabat setiausaha agung organisasi besar pemantau dan pelaksana pilihanraya di luar negara juga menunjukan minat untuk hadir meelihat sendiri penciptaan sejarah besar ini.

Dalam negara media regim bersungguh - sungguh mencari jalan bagaimana untuk menggagalkan penciptaan sejarah besar ini dengan perbagai laporan untuk membentuk persepsi negatif.

Sebagai sebuah parti yang 'sumbernya' agak terhad sudah tentu untuk menguruskan 222 kawasan parlimen yang hampir semua KEADILAN punya cabang yang perlu dirus pemilihanya maka terdapat sedikit sebanyak kekurangan. Kekurangan ini akan menjadi lebih parah apabila muncul beberapa elemen sabotaj dari luar. Namun kejayaan menguruskan dengan hanya kurang 10 cabang digantung dan dibuat pemilihan semula satu kejayaan baik. Umno yang telah juga 'terpaksa' meminda perlembagaan ekoran tekanan pindaan perlembagaan KEADILAN sehungguhnya walaupun sumber melimpah tetapi pasti tidak berani melakukan pembukaan demokrasi sedemikian rupa.

Proses ini telah sampai ke peringkat kedua iaitu selesai peringkat cabang dan memasuki pemilihan peringkat pusat. Namun setelah cheGuBard turun ke beberapa tempat menemui ramai pemimpin - pemimpin parti peringkat cabang dan ranting perbagai rungutan didengari. Maka apa salahnya kita selaku pemimpin tinggi parti yang diberi amanah oleh akar umbi berhenti sejenak dan berfikir dengan waras sambil mendengar suara - suara dari peringkat cabang dan ranting.

Apa kata kita beri sedikit masa untuk kita sama berusaha membantu JPP bagi menangani beberapa kelemahan 'kecil' bagi mengelakan gangguan 'kecil' yang boleh mengganggu penciptaan sejarah yang besar. Rumah besar dan indah siap tidak akan dilihat positif jika pahat masih berbunyi.

Pilihanraya Kecil Galas dan Batu Sapi juga harus diteliti. Rasanya hampir sahih Batu Sapi akan ditandingi oleh KEADILAN. Sabah dan Sarawak ini merupakan elemen penting dalam mencapai impian ke Putrajaya. PRU yang lalu membuktikan bahawa sejauh mana kita 'tapau' Semenanjung tanpa Sabah dan Sarawak pasti Bn akan terus mencengkam kuasa.

Di Sarawak kita telah membuktikan dengan DAP yang mewakili Pakatan Rakyat cemerlang di Sibu. Maka Batu Sapi ialah ujian bagi KEADILAN dalam membangkitkan rakyat Sabah. Kejayaan di Batu Sapi akan beri impak besar dalam lanskap politik Malaysia.

cheGuBard juga telah menemui ramai pimpinan parti termasuk terakhir semalam menemui Mustafa Kamil Ayub. Hampir semua menyatakan idea yang sama, maka dengan mengangkat suara anggota parti yang kebanyakan maka rasanya kita perlu berani menangguhkan sebentar pemilihan fasa kedua ini untuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit tertangguh.

KEADILAN parti hebat dan berani kerana membuka ruang demokrasi selebar ini namun kita akan lebih dihormati dan penciptaan sejarah akan lebih diraikan apabila kalau kita sedar ada sedikit kelemahan kita berhenti refleksi dan sama usaha perbetul keadaan sebelum kita teruskan dengan lebih bersedia dan lengkap.

Rasanya semua pemimpin pasti bersetuju lainlah kalau ada yang begitu tidak sabar hendak menjadi pimpinan kanan parti.

sumber chegubard

Sunday, October 10, 2010

Asal Bukan Azmin


Akhirnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat pengumuman rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Keadilan. Pada tahun 2007, tatkala Azmin Ali begitu galak mengumpul pencalonan untuk mencabar Syed Husin Ali, Tan Sri Khalid telah mempertimbangkan untuk bertanding. Beberapa Bahagian yang saya hubungi ketika itu bersedia mencalonkan Tan Sri Khalid. Apabila Syed Husin bersedia untuk terus berkhidmat, Tan Sri Khalid lega.

Ternyata pertimbangan Tan Sri Khalid bukan kerana mengejar jawatan, tetapi semata-mata demi kepentingan perjuangan. Jika betul mahu mengejar jawatan, 2007 adalah pemilihan paling sesuai kerana nama beliau yang masih panas.

Saya percaya Tan Sri Khalid adalah pilihan terbaik. Beliau pernah berkhidmat sebagai Bendahari Agung parti dan berjaya menyelesaikan semua hutang tertunggak parti. Beliau juga berjaya meningkatkan kedudukan kewangan parti kepada tahap yang selayaknya untuk parti politik peringkat nasional. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Perunding pembahagian kerusi untuk Pilihanraya Umum 2008.

Sebagai Pengerusi Keadilan Selangor, beliau menubuhkan pejabat perhubungan di Shah Alam sejak awal memegang jawatan meskipun Bahagian Kuala Selangor mempunyai pejabat sendiri. Ketika Azmin menjadi Pengerusi Selangor, beliau tidak ada daya usaha menubuhkan pejabat di Shah Alam, sekadar menumpang pejabat Gombak. Parti ialah di mana Azmin Ali berada.

Menjelang pilihanraya umum 2008, Anwar Ibrahim memilih Tan Sri Khalid sebagai calon Menteri Besar meskipun Tan Sri Khalid tidak ada pengalaman sebagai wakil rakyat. Azmin yang merupakan satu-satunya ADUN daripada Keadilan di Selangor (1999-2004), tidak mendapat kepercayaan Anwar untuk menjadi calon Menteri Besar.

Justeru bagi rakyat Selangor, pemilihan kali ini adalah amat penting kerana Azmin jika menang sebagai Timbalan Presiden akan menggunakan kedudukan itu untuk merebut jawatan Menteri Besar, sesuatu yang gagal beliau lakukan dengan taktik merajuk dan ugut baru-baru ini. Beliau hanya berjaya merebut jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor.

Sekiranya Tan Sri Khalid tidak menjadi Menteri Besar, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan terjejas.

Jika pada 2008 Anwar Ibrahim tidak percaya kepada Azmin untuk menjadi Menteri Besar, bagaimana pula sekarang Azmin hendak cuba merebut jawatan itu?

Saya percaya Zaid Ibrahim akan menarik diri daripada pertandingan Timbalan Presiden, sebagaimana ikrar beliau pada peringkat awal. Beliau “hanya akan bertanding jawatan itu sekiranya Tan Sri Khalid tidak bertanding”. Zaid masih boleh menawarkan khidmat di jawatan Naib Presiden, Setiausaha Agung mahupun Bendahari Agung.

Ura-ura pada malam ini, saudara Mustafa Kamil Ayub bersedia menarik diri dan mempertahankan jawatan Naib Presiden. Pada hemat saya tidak ada masalah untuk beliau menarik diri dan memberikan sokongan kepada Tan Sri Khalid. Saya amat berharap ini menjadi kenyataan.

Saya percaya pertandingan ini akan menjadi satu lawan satu antara cara lama “politik dapur, merajuk dan ugut” Azmin Ali menentang arus pembaharuan yang ditonjolkan oleh Tan Sri Khalid.

Selamat berjuang dan selamat berjaya!

Sumber Ahmad Zaki Yamani

Pemilihan 2010 : Qabil dan Habil

Dalam politik khususnya bagi mana-mana ahli politik, kemuncak kenikmatan tertinggi atau perkara yang paling menyeronokkan ialah pertama ; pemilihan pemimpin dalam parti dan kedua; pilihanraya, pemilihan pemimpin negara. Walaupun lapangan berbeza tetapi tujuan asasnya itu adalah sama iaitu “memilih”. Seperkara lagi yang membuatkan ahli politik “histeria” di kemuncak kenikmatan tertinggi ini adalah peluang atau satu-satunya peluang untuk melondehkan pesaing masing-masing. Apa boleh buat kerana inilah trend dan budaya politik yang masih mendapat demand kalangan khalayak Malaysia.

Antara Harapan dan Dilema

Ta’kala rakyat didendangkan budaya politik sedemikian, PKR mengambil langkah berani memperkenalkan dan menyuntik elemen baru “satu ahli satu undi”, pembudayaan politik yang diharapkan dapat membawa ahli parti dan rakyat amnya untuk melihat demokrasi dari sisi pandang yang berbeza, segar dari biasa.

Namun aspirasi murni tersebut sedikit tercemar dengan insiden yang berlaku ketika minggu-minggu pemilihan peringkat Cabang yang lalu. Isu terlebih peti dan kertas undi, status keahlian dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat(JPP) tidak profesional berbangkit. Namun isu ini tidak mengusarkan kerana sistem yang dibentuk adalah alat untuk menilai sejauh mana keberkesanan tujuan yang diinginkan. Selagi ianya tidak memenuhi keinginan maka tuan yang mencipta sistem tersebut bebas untuk bereksperimentasi walaupun sedar keinginan mutlak mustahil dapat dicapai. Justeru parti khususnya JPP masih mempunyai ruang untuk menambah-baik. Itu tidak menjadi hal.

Apa yang menjadi sedikit kebimbangan adalah kegagalan entiti untuk memahami maksud dan tujuan yang ingin dibentuk oleh sistem tersebut. Walau sehebat manapun ianya tetap gagal jika entiti tersebut gagal. Antara kegagalan entiti diterjemahkan dengan pertentangan persaingan yang menjelekkan…selinsing baju, baling kerusi, pembunuhan karekter, tidak meraikan , perbezaan pandangan diperlecehkan dan sebagainya.

Pertikaian dan Pertentangan Antara Sahabat

Ramai ahli politik lekas mentakwilkan akan pertentangan ataupun perebutan kuasa seperti Zubair dan Thalhah bertentang denga Saidina Ali r.a sehingga meragut nyawa. Lebih popular kata-kata,”di mana ada Ali, di situ ada Muawiyyah”, semata-mata untuk menjustifikasikan. Memanglah benar tetapi apa yang dikesali ialah ahli poltik jenis ini kerap kali terlupa “iktibar besar” dan gagal mengangkat persoalan akhlak dari pertentangan tersebut, seolah-olah mengungkapnya sebagai alas untuk berlepas-tangan kerja kotor mereka. Tambah melucukan mereka tanpa sedar menganggap taraf mereka sama dengan para sahabat.

Yang sepatutnya mereka teladani adalah bagaimana akhlak sahabat ta’kala berbeda pandangan mahupun ketika kemuncak pertentangan. Iktibar dan hikmah kepada kita untuk menjadi lebih baik bukan mengulang-ulang perkara atau kelaku yang jelas memerosotkan kualiti dan nilai keinsanan.

Diriwayatkan oleh Abu Bakar dari Abul Bukhturi, katanya;“ketika Ali ditanya tentang lawan-lawannya(yang dipimpin oleh Zubair, Thalhah dan Ummu Mukminin sendiri) di medan Perang Jamal, “Apakah mereka termasuk kaum musyrikin?” Jawab Ali,”Mereka adalah orang-orang yang berlari dari perbuatan syirik”. Tanya mereka, “ Apakah mereka termasuk kaum munafikin”.Jawab Ali,”Kaum munafikin adalah orang-orang yang mengingat Allah hanya sedikit”. Tanya mereka lagi, “Kalau begitu siapakah mereka?”. Kata Ali,”Mereka adalah saudara-saudara kami yang melampaui batas kepada kami, dan aku berharap semoga kami termasuk kelompok orang-orang yang difirmankan oleh Allah, “Dan kami cabut segala macam dendam yang ada di dalam mereka, dan mereka menjadi bersaudara”.

Al Allama Ibnu Khaldun berkomentar, “Sahabat bertentang didasari dengan bukti-bukti yang kuat. Pertentangan dan pertikaian mereka hanyalah merupakan usaha-usaha untuk menwujudkan kebenaran, tiada sedikitpun unsur-unsur lain. Keyakinan kita bahawa pertikaian mereka membawa rahmat dan iktibar bagi umat mendatang, agar setiap individu umat dapat memilih perjalanan siapa terbaik antara mereka dalam perihal memilih pimpinan. Terbukanya pintu fitnah di kalangan para sahabat adalah setelah terbunuhnya Khalifah Usman Ibnu Affan r.a. Apa yang terjadi di kalangan sahabat-sahabat nabi dapatlah dimaafkan, sebab mereka mempunyai perasaan yang sama, iaitu hendak menegakkan agama, kemudian mereka menghadapi persoalan tersebut menurut ijtihad masing-masing untuk menegakkan kebenaran. Andaikata Saidina Ali di pihak yang benar, maka tidaklah Muawiyah mempunyai motif yang salah, hanya saja ianya salah dari segi tindakan”.

Kita

Tetapi persolannya kita bagaimana? Tapak pertentangan? Terpakaikah hujah berikut ta’kala kita telah dibentangkan pengajaran serta iktibar. Setakat ini jelas kecenderungan kita bertentang asasnya hasad. Elemen-elemen hasad karakternya memusnahkan untuk mencipta atau mencapai kejayaan. Bila pertentangan didasari hasad maka bertindaklah kita seperti Qabil. Qabil kesudahan adalah hancur binasa.

Apakah kebinasaan kesudahan yang diinginkan oleh ahli? Siapakah Qabil, siapakah Habil ?

Kini semuanya tertanggung atas pundak dan kebijaksanaan ahli akar umbi.

Thursday, October 7, 2010

Kenyataan Si Zaid dan Olahan Si Pemutar


Isu Rahimi Osman, seorang lagi budak "jambu batu" mengemparkan arus politik negara. Tak semena-mena budak ini buat kenyataan yang pada fikiran ramai "mengejutkan". Tapi tiada apa yang best, rakan-rakan sudah menjangka sejak beliau menyepikan diri dari PKR lama yang lalu. 2 benda yang dapat disimpulkan nawaitu dari tindakan beliau tersebut iaitu pertama, masa terbaik untuk membantai PKR berikutan pemilihan 2010; serang institusi telah dan sedang dilakukan, kedua serang ikon kepada institusi tersebut. Hasil yang cuba dilihat; pertama nak longgarkan ikatan ahli serta rakyat kepada keupayaan Parti dan kedua untuk menjarakkan PR khususnya PAS dari pengundi di PRK DUN Galas yang bakal berlangsung.

Tiba-tiba di dalam keriuhan si Jambu Batu ini, terpalit sangkut pula si zaid bila dikatakan beliau turut di belakang tindakan si jambu batu ini. Apa punya nonsense dan bodohnya si pemutar cerita tersebut ibarat cuba menjalinkan cerita si cinderella dengan hikayat Hang Tuah. Skrip, pelakon dan jalan cerita berbeza namun bersungguh-sungguh pula cuba jalinkan. Namun si pemutar cerita nampak terlalu desperate dan beria-ia untuk menyakinkan ramai akan kesahihan cerita..diputarnya kenyataan Zaid namun tidak pula untuk kenyataan si peguam anwar ini .

Budaya baru politik baru memperjuangkan nilai, aspirasinya, yang benar tetap benar, yang salah tetap salah hatta walaupun ianya melibatkan keluarga sendiri. Bukannya sokong babi membuta. Pelajarilah sirah. Kenyataan, "Ia mungkin benar, mungkin tak," mencerminkan kenyataan seseorang individu yang berjiwa besar dan tidak mendahului hukum. Negara hukum adalah negara yang berlandaskan hukum(undang-undang), tidak berdasarkan kekuasaan. Namun sehingga verdict tidak apa perlu dirisaukan. Ibarat minyak dan air, yang hak tetap hak yang bathil akan terserlah jua akhirnya. Dalam soal undang-undang tidak perlu double standard. Double standard amalan regim lama yang kita sendiri benci dan menolaknya. Namun jika kita masih, bermakna tiada apa yang bezanya kita.

Tuesday, October 5, 2010

Pemilihan 2010: Memerangi Pemikiran Khurafat Sesetengah Pimpinan PKR



Kerjaya Politik akan "tidak ke mana" jika berhasrat melawan "orang itu"


Ini khurafat nombor wahid perlu ditentang habis-habisan oleh ahli akar umbi! Pemikiran ini jika tidak dibendung akan melahirkan budaya takut dan "kipas" di kalangan pimpinan, sedangkan kalau kita memahami erti demokrasi itu sendiri dan juga aspirasi PKR di dalam memperjuangkan demokrasi, jelaslah ianya amat bercanggah. Tidak disangka pemikiran sebegini masih terdapat kalangan pimpinan dalam wadah perjuangan rakyat ini. Cerminan kealpaan pimpinan bahawa survival bukan atas naungan atau ehsan individu kepada individu pemimpin tertentu tetapi yang absahnya adalah ahli akar umbi yang menentukan jatuh-bangun kamu.

Hormati ahli akar umbi dengan tonjolkan wibawa dan keikhlasan kamu!

Orang Lama atau Orang Baru serta Soal Kesetiaan

Isu ini jelas tidak relevan dan lemah tambahan pula jika ianya berkait dengan Parti yang terkedepan di dalam mengusulkan politik baru budaya baru dan juga kaedah 1 ahli 1 undi yang aspirasinya meraikan semua yang ingin menyumbang. Jadi dari segi bahasanya isu ini adalah tertolak dan tidak terpakai.

Menelusuri sirah para sahabat Rasulullah SAW, kisah Saidina Umar ibni al-Khattab, jika Saidina Abu Bakar As Siddiq memikirkan bahawa Saidina Umar ini "baru" maka tidak diangkatnya beliau untuk menjadi penasihatnya malahan dilantik menjadi Khalifah Islam berikutnya selepas beliau. Siapa tidak tahu berkenaan sikap Saidina Umar sebelum Islam. Ganas, zalim, tanam anak hidup-hidup dan peminum arak tegar..bukan minum tetapi siap mandi lagi!

Kenyataan "orang lama orang baru" adalah bodoh sifatnya dan tidak membawa untung kepada keutuhan parti, yang pasti ianya hanya akan menerbitkan tunas-tunas fraksi lama dan baru yang bakal memporak-perandakan kesatuan parti jika ianya dibenarkan berterusan. Terus ianya menjurus kepada "kasta" status keahlian. Kasta di India pun rata-rata rakyatnya campakkan ke longkang, kita pula ingin mengutipnya. Ini jelas berlawanan dengan aspirasi Parti yang meraikan kepelbagaian, dinamika serta organisasi progresif sifatnya.

Kesetiaan, kita diajar berkiblatkan kepada prinsip dan idealisme perjuangan parti bukan sosok tubuh. Selagi mana sosok tubuh istiqamah kepada prinsip dan idealisme perjuangan maka jaminan untuk terus mengangkatnya dikotakan. Tiada apa yang perlu dirisaukan.

Belum Teruji

Apakah kriteria "ujian" yang perlu dilalui sebelum seseorang calon itu diiktiraf "telah teruji"? Semasa luar parti?dalam parti?bersama keluarga?semasa bercuti?dipukul?ditembak?diherdik?

Yang nak iktiraf itu siapa??atokengkau?nenekengkau?mak engkau?bapak engkau?kakak atau adik engkau? atau engkau? Ishh..dah kira macam budak-budak. Ada mata lihat, ada telinga dengar, ada otak jangan taruh lutut! Ahli akar umbi semakin cerdik!

Amatlah malang jika kaedah pendemokrasian 1 ahli 1 undi ini hanya "wayang" untuk menunjuk pada khalayak yang Parti mendahului dalam aspek berkenaan , walhal kenyataannya terdapat segelintir pimpinan atasan yang tidak bersedia untuk benar-benar menerima dan mempraktikkannya. Lebih malang lagi pengaruh pimpinan tersebut telah mengakar lama di setiap instrumen Parti. Usah dipersoalkan, apatah lagi ahli akar umbi.


Satu sahaja yang jelas..ahli akar umbi sudah meluat dengan lagak hipokrit calon pimpinan berikut...pemikiran khurafat ini perlu ditentang, reformasi dalaman wajib dimulakan!

Monday, October 4, 2010

Petanda Awal Azmin Lalui Laluan Berliku?


Ramai bercakap, di mana ada Azmin di situ timbul masalah atau perpecahan...di Sabah, Selangor, Perak(Era PR memerintah). Apapun ahli PKR akar umbi sekarang dah cerdik. Era cucuk hidung dah berlalu. Ahli betul-betul nak praktikkan 1 ahli 1 undi .Demokrasi meraikan semua. Siapa nak bertanding..silakan. Isu orang lama orang baru atau soal kesetiaan dah tak relevan lagi dan ianya boleh dihujahkan. Lagi menambah kemeluatan jika seseorang calon berpaut pada ketiak seseorang dan cuba bertindak menghak-milikkan parti. Mereka boleh cadang tetapi akhirnya ahli yang menentukan. Isu penawaran dan kewibawaan calon yang menjadi taruhan.

Sumber Ahmad Zaki Yamani

TSK mantap di Kuala Selangor

Ramai teman-teman yang saya kirim SMS malam tadi memaklumkan kemenangan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Ketua Cabang Kuala Selangor dengan majoriti selesa, membalas dengan menyatakan rasa syukur dan lega mereka.

TSK sejak sekian lama menghadapi pelbagai masalah dengan beberapa kerat ahli di Kuala Selangor yang secara luar biasa membuat pelbagai desakan dan tuntutan. Namun TSK tekun menghadapinya dan terus melakukan yang terbaik untuk parti di sana.

Lebih 1,400 orang keluar mengundi di Kuala Selangor. Tetapi hanya sekitar 200 orang dilaporkan mengundi di Gombak. Ini adalah satu fenomena pelik. Dahulu saban tahun hanya tiga Bahagian boleh diharapkan untuk mempunyai kehadiran yang mantap (sekitar beberapa ratus) — Permatang Pauh, Gombak dan Shah Alam.

Pada tahun 2004, lebih seratus ahli hadir pada mesyuarat Angkatan Muda Keadilan Gombak. Tetapi kini tatkala ribuan anggota hadir di Kuala Selangor dan beberapa cabang lain, apakah kehadiran di Gombak merosot padahal mesyuarat gah diadakan di hotel?

Apa sudah jadi dan apa nak jadi?

Pemilihan 2010 : Artikel Menarik!

PERCUBAAN MENDEMOKRASIKAN DIRI

Saya memerhatikan dengan penuh teliti apa yang sedang cuba dilakukan oleh Parti Keadilan Rakyat. Apa yang saya maksudkan ialah percubaan PKR untuk membawa dan merayakan demokrasi kepada semua ahli-ahlinya melalui satu ahli satu undi.

Sekali imbas kelihatan ianya amat radikal. Radikal dalam konteks kewujudan demokrasi di Malaysia. Untuk pertama kalinya ahli parti PKR membolehkan diri mereka memilih ketua pimpinan dari ranting, cabang hingga ke pucuk pimpinan pusat. Memang radikal.

Syabas! Tahniah! Kerana memiliki niat untuk merayakan demokrasi dalam parti. Syabas kerana memiliki niat dan akidah untuk memperkasakan ahli-ahli dengan hak pengundian mereka.

Tetapi dalam hidup ini – niat yang baik tidak semestinya membawa kebaikkan. Niat sahaja tidak mencukupi. Obama juga berniat baik apabila dia bersetuju untuk menambahkan lagi bala tentera Amerika di Afghanistan. Najib Razak juga berniat baik apabila dia menikahi seorang janda.

Niat bukan hakikat. Niat tidak memiliki apa apa makna. Berniat hendak pergi ke Mekah untuk menunaikan haji, bunyinya baik dan gah tetapi kalau tidak menyimpan duit atau memohon pasport antarabangsa – niat ini tidak memiliki apa-apa makna.

Permasaalahan yang sedang dihadapi oleh PKR ini ialah pucuk pimpianan PKR cuba membawa demokrasi dengan membezakan diri mereka dengan demokrasi yang diamalkan oleh musuh politik mereka. Ini adalah kesilapan besar. Mereka ingin meng– ada–adakan demokrasi.

Kewujudan demokrasi bukan melalui perbandingan dengan musuh politik. Demokrasi wujud bukan kerana adanya fasisma. Demokrasi wujud bukan kerana adanya ditaktor. Satu ahli satu undi dalam PKR seharusnya diwujudkan bukan kerana United Malays National Organisation menjalankan sistem undi perwakilan dalam pemilihan pimpinan mereka.

Jika kerana ingin berbeza dari United Malay National Organisation maka itu hanya reaksi. Demokrasi bukan reaksi. Kalau demokrasi sebagai langkah reaksi maka ini bukan demokrasi tapi reaksionari. Demokrasi adalah wadah yang diajukan dimana idea, pandangan akan di debat dan di canai secara terbuka.

Demokrasi bercita-cita untuk mewujudkan warga yang memiliki ketrampilan intelek dan keilmuan untuk berfikir, berhitung dan mengambil tindakan dan keputusan secara rasional setelah menilai semua fakta.

Sayugia di ingatkan pemilihan satu undi untuk satu ahli ini belum menjamin kelahiran demokrasi. Bunyinya memang lunak – satu ahli dapat memilih dari bawah hingga ke atas – hebat !

Apakah ini hakikat atau hanya satu ilusi?

Pada hemat saya , disini amat jelas kesongsangan pemahaman tentang apa itu demokrasi. Pengundian ini hanyalah satu manifestasi dari jalur demokrasi. Kalau hak mengundi wujud dalam sesebuah persatuan atau kumpulan bukan bermakna persatuan itu mengamalkan demokrasi.

Jangan lupa Hitler juga di undi untuk di jadikan Chancelor German. Jangan lupa Mussolini juga di undi untuk memimpin National Fascist Party. Jangan lupa Barisan Najib Rosmah yang mentabir Malaysia hari ini juga diundi untuk mereka ke Putrajaya.

Pengundian tidak menjamin demokrasi. Pengundian sahaja tidak memiliki makna yang hakiki.

Sistem baru yang sedang dicuba oleh PKR ini amat jelas bukan mengembangkan demokrasi malah menguncupkan demokrasi. Kalau sebelum ini ahli-ahli PKR memilih pimpina mereka melalui perwakilan - kali ini pengundian di seluruh negara – disetiap cabang. Seharusnya dilihat berkembang. Hakikatnya mengempis.

Saya berani berkata sedemikian kerana dari apa yang saya perhatikan ketika ini besar kemungkinan PKR ini akan menjadi parti towkay – parti orang-orang kaya. PKR akan menjadi parti untuk mereka yang memiliki dana dan modal. Rintik rintik dan awan hitam ini telah mula kelihatan dimana PKR berkemungkinan akan dibajak.

Pasti ada ahli PKR atau gedebe PKR akan menganggap kenyataan saya ini lucah. Kenyataan kurang hajar dari seorang NGI yang bermazhab Marxist Groucho. Mungkin saya dianggap kurang siuman kerana berani menulis sedemikian. Biar saya berikan hujah-hujah kenapa saya berpendapat sedemikin.

Sistem pemilihan Parti Keadilan Rakyat yang sedang diperkenalkan hari ini amat terbuka. Keterbukaan ini telah dihebang hebohkan sebagai merayakan demokrasi. Ini silap. Sebenarnya keterbukaan ini hanya telah membawa masuk ramai ahli-ahli baru ke dalam PKR. Ini memang di alu-alukan. Dalam masa yang sama keterbukaan ini telah juga menjemput masuk pelbagai jenis hantu dan jembalang ke dalam Parti Keadilan Rakyat.

Watak-watak ‘reject dan recon’ kelihatan banyak diterima masuk untuk menjadi ahli PKR. Janjinya cukup enteng - asalkan mereka berkeupayaan mengeluarkan dana lumayan sebanyak dua ringgit untuk membayar yuran keahlian – maka mereka saheh menjadi ahli. Apa garis parti, apa perlembagaan parti dan apa perjuangan parti tidak ditimbulkan. Terbuka disini di difinasikan sebagai merayakan demokrasi.

Hasilnya, keterbukaan ini telah membawa masuk pelbagai bentuk gedebe, kaki pukul atau kaki buang kerusi. Para gedebe ini masuk dengan membawa penyokong-penyokong mereka. Ini samalah seperti Don Barzini dari South Bronx datang berjumpa Don Vito Corleone di Lower Manhattan dengan menjanjikan kaki kaki pukul dan penyokong yang baru.

Kerana ingin membezakan diri dari musuh politik maka PKR telah tidak menapis kemasukkan ahli ahli baru ini. PKR telah membenarkan ahli-ahli yang tidak dikenali hujung pangkal – tidak diduga kesetiaan – jauh sekali pemahaman tentang perjuangan – untuk mengundi dalam sistem satu ahli satu undi.

Hasilnya: Apa yang umum baca dimedia dan laman laman web adalah manifestasi dari sistem keterbukaan ini. Melalui sistem pemilihan baru ini watak-watak ‘reject dan recon’ dan para gedebe yang sedang bergelawak dan berkuntau untuk berebut kuasa. Justeru kemungkinan PKR akan di bajak tidak mustahil.

Pemilihan yang sedang berjalan sekarang ini akan dibayar dengan harga yang mahal- dalam erti kata ‘ringgit dan sen’. PKR akan mengeluarkan dana yang banyak untuk memastikan pengundian satu ahli satu undi ini berjalan lancar. Untuk saya ini satu kesanggupan yang wajib kita semua hormati.

Parti Keadilan Rakyat sedang mengajukan politik baru. Dalam politik baru ini, warga wajib sedar dan sanggup membayar dengan nyawa dan darah untuk merampas ruang demokrasi dan memperkasa hak kita sebagai individu.

Tetapi disini , apa yang ingin saya huraikan bukan bab ini – tetapi bab perbelanjaan berkempen untuk ahli-ahli PKR yang ingin menawarkan diri sebagai calon. Satu ahli satu undi memang romantik bunyinya tetapi hakikatnya tidak seromantik bunyinya.

Sistem satu undi untuk satu ahli ini menjadi beban yang mahal. Dengan mensenaraikan nama sebagai calon dan berharap akan dipilih adalah kerja politik gila dalam budaya terkini PKR. Bakal calon wajib menonjol diri dengan berkempen. Berkempen di seluruh Malaysia belanjanya bukan kecik anak. Malah untuk dipilih menjadi ketua cabang juga memerlukan dana.

Akhirnya hanya mereka yang memiliki dana yang cukup sahaja yang boleh berkempen ke hulu ke hilir. Lihat dan saksikan lah - cita-cita untuk meluaskan ruang demokrasi kini telah dibajak oleh mereka yang kaya – oleh mereka yang berduit.

Bagaimana pula untuk mereka yang memiliki ciri dan watak pemimpin yang unggul, telah terduga dalam pejuangan tetapi tidak memiliki modal untuk berkempen. Sosok dan watak sebagini yang amat diperlukan oleh PKR. Tetapi tanpa modal dan dana sosok ini akan terpinggir dan tersisih.

Tunggu sebentar! Nanti dahulu ! Jika sosok yang tidak memiliki dana tetapi masih ingin menawarkan diri maka sosok ini wajib bertemu dengan para towkay dan tuan tuan besar yang memiliki dana. Sosok ini mesti sanggup merendah diri untuk menjadi kuda tunggangan para towkay – tidak kiralah towkay judi atau towkay lendir China Doll. Pasti ada tuan-tuan besar yang berbini besar yang sanggup menaja. Disinilah berlakunay pembajakaan.

Untuk kaum pemodal dan orang kaya-kaya - dana yang dihulurkan kepada orang politik ini adalah perlaburan masa depan mereka. Kaum pemodal – dalam sistem ekonomi kapitalis – akan menaja sesiapa sahaja untuk memastikan lurah peniagaan mereka tidak dihalang.

Justeru dimanakah demokrasi yang cuba dipekenalkan oleh Parti Keadilan Rakyat? Pusing pusing sampai ke situ juga.(TT)

Saturday, September 25, 2010

Rentetan Episod Duka di Pasir Salak.


-Sekadar Gambar Hiasan-



Siapa Musang berbulu Ayam, itek ka hapa ntah??

Siapa Trojan Horse?

Siapa pulak yang merajuk dan berkira2 nak daftar kelas "tuisyen" jadi KATAK?

Siapa pulak yang Syok Sendiri, suka dia mai, tak suka dia pi juai beras?! Aparaa..!!

dan Siapa pulak dok tersenyum sorang-sorang hati berkata,"...puas hati aku!" or '..padan muka kat muh"

Pakat2 kita wait and see..tak hari ini, minggu depan! tak bulan ini, tahun depan,!tak raya ini, confirm sebelum pilihanraya nak mai tahun depan! kah! kah! Kah! hampeh!!

Tapi sebelum tu mai hangpa blajaq kat monyet sekor bawah ni...Kah! kah! Kah!




Alahai PKR Perak! Cehh! Politik Baru kononn...bila la saki-baki X-Gen Boomer dalam PKR nak jalan...anak muda PKR dah meluatt woi!

Friday, September 24, 2010

Pemilihan 2010 : Mencari Kepimpinan Jeneral dalam PKR


Di dalam teks The Art of War, Sun Tzu mengutarakan beberapa faktor asas persekitaran yang perlu dianalisis demi untuk mengangkat sesebuah organisasi mencapai kejayaan. Dari beberapa faktor asas itu diperhalusi pula kepada aspek berikut:

1) Aspek persekitaran dalaman organisasi-Kekuatan dan kelemahan

2) Aspek persekitaran luaran organisasi-Peluang dan Ancaman.

Sesuai dengan iklim pemilihan 2010, pilihan penulisan ini tentulah kepada aspek persekitaran dalaman organisasi-kekuatan dan kelemahan. Diiktibarkan dari aspek tersebut bahawa di dalamnya terkandung 3 faktor pada perkiraan Sun Tzu jika mana dapat diolah dengan baik oleh pemimpin sesebuah organisasi tersebut maka ianya dapat melonjak sesebuah organisasi dalam pencapaian objektif tertentu.Tentulah sebagai organisasi politik pencapaian objektif tersebut adalah kuasa politik. Faktor tersebut ialah:

i) Hal Ehwal Dao atau Alasan Moral,

ii) Kepimpinan Jeneral dan

iii) Pengelolaan dan disiplin.

Daripada ketiga-tiga faktor tersebut, Kepimpinan Jeneral menjadi perhatian.

Kepimpinan Jeneral melambangkan unsur kepimpinan di dalam sebuah organisasi tersebut. Seorang pemimpin dalam maksud kepimpinan Jeneral haruslah mempunyai sifat bijaksana supaya dia bukan sahaja dapat mengetahui apa yang berlaku di dalam organisasi tetapi juga boleh meramal melewati situasi semasa untuk mengetahui implikasi strategik organisasi yang dipimpinnya. Ini penting untuk membaca dan membuat persediaan ke atas peluang dan ancaman yang mungkin dihadapi organisasi dan pada masa yang sama merancang strategi yang sesuai.

Sifat kesetiaan, keberanian, ketegasan dan keperimanusian menjadi ciri-ciri seorang pemimpin berkepimpinan Jeneral tetapi sifat bijaksana mendapat tempat tertinggi mengatasi ciri-ciri yang disebutkan di atas. Kepimpinan Jeneral juga merentasi etnik, agama atau budaya akan kepopularan dan penerimaannya.

Melihat dari konteks organisasi Parti Keadilan Rakyat(PKR), kepimpinan Jeneral kalangan pemimpinnya belum serlah. Popular dan diterima pada kalangan tertentu tetapi sebaliknya pada kalangan tertentu yang lain. Kebijaksanaan kata-kata diterjemahkan kepada keberanian tindakan dan kerja buatnya belum cukup terbukti. Kejujuran dan keterbukaan berlawanan sikap “sweep under the carpet di dalam menangani sesuatu isu cukup mendesak dan ditagih ramai khususnya ahli parti. Hujah ini dikemukakan atas premis dan dakwaan masih kedapatan situasi mesyuarat dalam mesyuarat, agenda dalam agenda, entiti dalam entiti dan “berdepan bersama, bertentang berbeda” di dalam mengatur perjalanan organisasi Parti.

Polemik Idealisme

Bagi orang Melayu bila melewati isu idealisme perjuangan PKR, masih ramai malu-malu ataupun berasa ngeri untuk melibatkan diri secara langsung. Hujah mereka yang masih tidak dijawab secara jujur dan tuntas hingga kini ialah apakah jaminan PKR mampu untuk melindungi status quo melayu itu dan perkembangan Islam. Walaupun ramai mangakui bahawa idealisme perjuangan PKR yang dikatakan menentang kezaliman dan tuntutan terhadap reformasi sosioekonomi dan politik itu bersifat Islam, namun sifat parti yang rencam@majmuk-etnik dan majmuk-agama, maka perjuangan berkenaan terpaksa berpaksikan kepada nilai-nilai universal, bukan kepada nilai-nilai Islam secara khusus dan konkrit. Akhirnya hal demikian tidak dinafikan melibatkan neutralisasi dan pengenduran nilai-nilai spesifik agama, khususnya di dalam konteks ini, nilai-nilai spesifik Islam itu sendiri.

Menjadi kerisauan orang Melayu ianya bakal menghakis sifat-sifat budaya dan nilai Islam itu sendiri serta memisahkannya dengan persoalan-persoalan epistemologi dan pandangan hidupnya(world view). Itu belum menyentuh soal doktrinisasi(pentarbiyyahan) parti. Kelangsungan perjuangan dan kekentalan idealisme cukup berkait rapat dengan doktrinisasi yang diterapkan kalangan ahli. Jika tidak perjuangan tersebut akan longgar dan tidak objektif. Justeru apakah elemen-elemen yang perlu disuntik ke dalam silibus doktrinisasi tersebut? Maka sudah semestinya nilai-nilai universal diutamakan dengan alasan sikap toleransi, akomodatif dan apologetik terpaksa menjadi paksi agar suasana harmoni dapat diwujudkan dan tujuan bersama dapat direalisasikan. Sekali lagi neutralisasi dan pengenduran nilai-nilai Islam mendapat tempat.

Polemik Kaum Bukan Melayu

Prejudis dan kesetiaan perjuangan kaum bukan Melayu di dalam PKR khususnya kaum Cina juga kerap menjadi polemik, kewujudan entiti di dalam entiti dan sikap selesa bergerak kalangan sendiri, mati idea atau canggung jika duduk di dalam kebersamaan menyeluruh. Kerap kali kedengaran program diatur tidak dibincangkan dan selalu bertindak atas kapasiti biro-biro tertentu.Mungkin sikap ini adalah reaction kepada tindakan kerja buat selama ini. Akhirnya kelihatan seolah-olah satu kapal dua nakhoda, sama lirik tapi alunan lagu berbeza. Ibarat pepatah, “bantal sama, mimpi lain-lain” . Amatlah malang jika ada kumpulan yang cuba mengambil kesempatan atas nama dan perjuangan ini. Lebih amat malang jika ianya benar-benar berlaku.

Namun atas apa permasalahan pun, ianya perlukan kebijaksanaan pimpinan untuk segera tangani. Sama ada kegagalan membentuk kebersamaan jati diri atau sebaliknya ianya adalah terletak atas pundak pemimpin untuk merungkaikannya. Mulai kini aspek persekitaran dalaman organisasi perlu dititik-beratkan dan dicernakan sebaik mungkin kerana ianya cerminan kepada umum sejauh mana komitmen dan bukti keseriusan Parti di dalam mendepani persoalan tuntutan reformasi politik dan sosioekonomi. Mana yang perlu dirungkaikan, segeralah dirungkaikan.

Mana mungkin untuk melakukan perubahan politik tanah air dan memperkasakan urus tadbir negara jika pendokong parti khususnya pemimpin dan ahlinya sendiri masih bersimpang-siur serta celaru akan prinsip dan asas-asas perjuangan parti yang didokonginya.

Sedari persoalan-persoalan di atas adalah cabaran sekitar perjalanan parti ke arah membina kebersamaan dan kekuatan, maka barisan kepimpinan yang bakal dipilih khususnya posisi Timbalan Presiden haruslah mempunyai iltizam, kejujuran, keberanian serta kebijaksanaan untuk menangani situasi tersebut. Perebutan jawatan bukan sekadar untuk mendapatkan pengiktirafan dan kuasa tetapi lebih dari itu ianya adalah tanggungjawab yang terpikul atas jawatan seseorang itu untuk memperkasakan organisasi Parti. Hidup adalah perjuangan, perjuangan perlukan cabaran, melepasi cabaran adalah intipati ke arah kejayaan. Begitu juga dengan Parti Keadilan Rakyat(PKR), parti perjuangan harapan rakyat dan masa hadapan yang punyai potensi untuk mengepalai perubahan dan mencatat nama gemilang di dalam lipatan kamus sejarah politik tanah air. Namun sehingga itu, cabaran-cabaran di atas perlulah segera disantuni.

Justeru antara Zahid, Azmin dan Mustaffa siapakah pemimpim berkepimpinan jeneral itu?

Tuesday, September 21, 2010

Media dan Orang Politik


"Kita selalu nasihatkan anggota kita, media perlu menjadi langkah terakhir (untuk suarakan pandangan). Semua media akan cuba mendapatkan berita (sensasi), tapi kita akan sentiasa maklumkan kepada kepada ahli kita supaya selesaikan (masalah mereka) di dalam parti terlebih dahulu," Timbalan presiden PKR Syed Husin Ali(Malaysiakini)

Persoalan media dan kemunafikkan orang politik kadang-kala menjengkelkan. Selalu mereka menyalahkan media jika liputan yang dilakukan tidak menyebelahi mereka lebih-lebih lagi jika ianya oleh media arus perdana milikkan lawan.

Walhal mereka sendiri yang "membuka pekung" atas alasan yang kita sendiri kurang fahami.

Tidaklah menghairankan bagi orang seperti Jenapala Perumal, umum mengetahui kedudukan dan motif beliau itu, namun bagaimana pula bagi pemimpin atau ahli parti?

Adakah orang-orang ini boleh diberi kepercayaan untuk mengemudi parti? Seperkara mencerminkan kepada umum akan tindakan "tidak cerdik" mereka ini ialah "mereka-mereka" ini telah berjaya mensarkaskan organisasi/parti dan sedang memenuhi di dalamnya badut-badut yang bersikap barbarian! Tidak berdisiplin, perlembangaan dan undang-undang hanya terpakai pada individu atau pada keadaan tertentu.

Apa yang ditegahkan kepada ahli, itulah yang dilanggar mereka.

Orang politik kita tak perlukan, yang kita dambakan seorang pejuang yang luhur nilai!


Nik Nazmi : Bijak Tak Cerdik!


Atok jelak dengan kerenah budak sekor nie. Dah lama atok perhati budak nie sejak isu pemilihan 2010..sebab kamu ler si Rafizi nampak TAK CERDIK di kalangan AMK walaupun dia seorang yang bijak .Sekarang pulak jangan bagi Ahli Parti meluat pulak pada si Azmin sebab tindakan kamu yang TAK CERDIK nie! Buat ler tugas kamu yang sebenor sebagai Pengarah Komunikasi Parti..bukannya jadi Pengarah Komunikasi Si Azmin. Jawab dan terang hal Parti pada umum lagi baguih dari "salah-guna" jawatan kamu itu. Kalau kemaruk nak jadi kempen manager baca posting ni dulu.INGAT! Ahli CERDIK dalam menilai.. baca bawah hal tindakan lawak beliau:


Sumber Greenboc


GB, minta pandangan GB tentang saingan Timbalan Presiden di dalam pemilihan PKR.

Demikian bunyi satu email ringkas dari seorang sahabat.

GB setakat ini enggan untuk campur di dalam hal-ehwal PKR kerana GB bukan seorang ahli PKR yang berdaftar. Tetapi oleh kerana PKR adalah komponen PR maka tidak dapat tidak, GB ikuti juga perkembangannya.

Apabila mengikutinya, GB lihat persaingan kian hari kian gawat.

GB pernah mengulas ini. GB kata:

PKR ialah satu-satunya parti yang multi-etnik. Ia menjadi teras kepada Pakatan Rakyat ketika ini dengan sebab "multi-etniknya" itu. Umum mengetahui, DAP masih berusaha untuk keluar dari kepompong cauvinis kecinaan, sementara PAS terus mengorak langkah berusaha untuk mendapatkan keahlian dari masyarakat bukan-Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS yang baru dibentuk.

Azmin dilihat mendapat sokongan dari pemimpin dan ahli PKR yang kebanyakannya "berbangsa Melayu" manakala Zaid disebaliknya.

Bagi GB, PKR perlukan kedua-duanya dan PKR tidak mampu kehilangan salah seorang dari mereka. Tetapi ingat, PKR berdiri tegak selama ini kerana perjuangan "keadilan"nya bukan kerana perjuangan menegakkan "bangsa"nya. Jika kerana "bangsa" dah lama PKR dihumbankan orang ke longkang seperti yang menimpa UMNO, MCA dan MIC. Tetapi masih ada pemimpin PKR sendiri yang masih tertambat dengan sentimen "bangsa" ini.

GB tak dapat menyalahkannya, kerana ia sifat semulajadi yang belum dibentur dan dididik dengan acuan "kebenaran dan keadilan" secara sejagat dan Islami. Pemimpin semacam ini ada dalam PAS juga. Darah Melayu lebih tebal dari darah Islamnya. Sama macam UMNO. Itu sebab di dalam kenyataan-kenyataan mereka, asyik tersasul dan sering memasukkan bola ke gawang sendiri. Tetapi di dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PAS kelmarin, mereka lebih licik dan telah menang!

Masalahnya kini ialah orang yang berjiwa UMNO, baik di dalam PKR maupun PAS menuduh lawannya itu sebagai talibarut UMNO. Ini yang kronik.

Semacam kenyataan Nik Nazmi di atas. Baca perenggan terakhir itu.

"Lupa - Beliau (Zaid) masih dalam Umno ketika itu. (Tanda senyum) Sekarang kritik ikut budaya Umno! Syabas."

Sedangkan tindakan beliau yang menyerang Zaid itulah sifat UMNO yang sebenar.


Saya tak mahu mengulas panjang kenyataan Nik Nazmi tersebut. Banyak benda yang GB tahu tetapi tak boleh ditulis di sini. Terlalu muda lagi sekalipun cuba berpencak. YAB Tan Sri Khalid Ibrahim lebih tahu, maka lantarannya beliau digantikan dengan Faekah.

Kini timbul pula blog anti-Zaid. Di dalam persaingan yang sepatutnya merupakan persaingan yang sihat bertukar menjadi persaingan yang begitu hodoh. Kewujudan blog berkenaan menunjukkan buruknya perangai mereka yang menyokong lawan Zaid.

Ia adalah satu perulangan sejarah di dalam pemilihan Timbalan Presiden PAS pada Muktamar yang lalu.

Kumpulan pro-UG mewujudkan laman blog anti-Husam. Diburukkan Husam dengan begitu hebat. Dituduhnya kumpulan Husam dengan pelbagai tuduhan yang lebih busuk dari najis.

Apabila keputusan diumumkan menanglah kumpulan itu. Tetapi "hakikatnya" Husam menang kerana ternyata Husam lebih konsisten di dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Husam bekerja sehari-harian tanpa menghiraukan ada atau tidak jawatan. Sedang yang menang pada zahirnya, sampai kini masih belum berupaya untuk menunjukkan sebarang landmark usaha yang dilakukan untuk PAS selain bising-bising dan asyik tertendang gol ke dalam gawang lawan.

Begitu, asalkan namanya Melayu, mereka yang bersifat dengki dan iri-hati yang diambil dari UMNO masih ramai di dalam PKR dan PAS.

Ada yang bergelar ustadz, ulamak dan seumpamanya, tetapi perangai Melayu itulah menjauhkan dirinya dari status taqwa.

Itu sebab di dalam Islam dua-dua kena seiring. Syariat dan hakikat. Zahir dan batin. Feqah dan tasawuf. HAMKA berpesan: yang berfeqah tanpa tasawuf, jadilah dia ulamak yang keras hati yang menjauhkan orang dari mendalami agama, manakala tasawuf tanpa feqah, lembut hatinya tetapi sesat. Ulamak juga menyatakan syariat tanpa hakikat hampa, hakikat tanpa syariat sesat adanya.

Jadilah kita seorang pejuang yang sebenar, zahir dan batin, kerana Allah. Betapa lemah pun kita, berdosa macamana pun kita, kita adalah hambaNya dan pengakuan kehambaan itulah taqwa namanya.

Ingatlah bukan semua yang menjadi pemimpin mempunyai rekod silamnya yang 100% bersih. Malah Adam sendiri diangkat khalifah hanya selepas beliau tersalah melanggar perintah Allah. Malaikat yang bersih itu pula yang disuruh sujud ke kaki Adam. Umar Al-Khattab menjadi khalifah terkenal di dalam pemerintahan khulafau Ar-Rasyidin sekalipun sebelum Islamnya beliau adalah musuh Mohd yang nyata, Nabi itu hendak dibunuhnya.

Saya berharap yang buat blog khusus menghina peribadi seseorang itu ditamatkan segera. Jika tokoh yang kamu agong itu menang sekalipun tetapi dengan kehinaan sedemikian, ia tidak bermakna apa-apa nanti. Ingatlah, jawatan itu "amanah" adanya.

Jawapan kepada sahabat yang menghantar email kepada GB tadi:

Sebagai seorang sahabat, saya sayang Azmin, sebagai seorang ahli politik, saya terima Zaid!

Sunday, September 19, 2010

Transkrip Ucapan Perasmian YB Yunus Ketua AMK Perak : Perasmian DEBAT AMK


TEKS UCAPAN YB YUNUS
DEBAT CALON KETUA AMK SESI 2010-2013
18 September 2010
Dewan Teratai, Taiping Golf Resort.

Saudara-saudari sekelian,

Sejarah dunia membuktikan setiap perubahan besar sesebuah masyarakat atau tamdun itu adalah berpunca dari asasnya revolusi minda sekelompok kecil manusia. Isi revolusi minda sekelompok kecil manusia tersebut ialah sikap dan nilai-nilai tertentu yang terjalin erat dalam satu falsafah sosial yang mengantikan falsafah sosial yang lama. Falsafah sosial ini terdiri daripada idea-idea tentang tanggungjawab manusia, ekonomi, pendidikan, moral, politik dan lain-lain lagi khususnya berkait langsung dengan rukun hidup bermasyarakat. Ertinya disamping menolak yang lama/buruk, seharusnya wujud pula pengantinya yang baru yang lebih baik.

Mengambil contoh Revolusi Perancis 1789, tokoh-tokoh seperti Voltaire, Rosseau, Mirabeau adalah sekelompok kecil manusia , bermula dari mereka akhirnya merubah minda seluruh khalayak , negara Perancis dan sekitarnya Eropah ketika itu. Dalam sejarah perkembangan tamadun Islam itu sendiri 1400 tahun lalu, itu pun bermula dari revolusi minda sahabat-sahabat Rasulullah SAW bila mana nilai yang diterapkan baginda Rasulullah yang berteraskan tauhid, tanggungjawab manusia terhadap Tuhan, moral dalam pergaulan dan keadilan yang akhirnya membentuk satu sikap yang mampu mengangkat martabat dan upaya ummah ketika itu.

Saudara-saudari sekelian,

Apakah relevannya saya mengambil contoh besar tersebut? Sesungguhnya ianya ada persamaan dengan kewujudan organisasi politik yang kita dokongi ini. Kalau kita mengimbas kembali sejarah penubuhan Parti, ianya adalah atas kesedaran ataupun revolusi minda sekelompok masyarakat ketika itu yang cukup tersinggung akan nilai dan budaya politik semasa. Iltizam mereka WAJIBBBB untuk menolak falsafah dan budaya politik nista dan perlukan satu pembaharuan, satu falsafah politik yang terkandung di dalamnya sikap dan nilai-nilai luhur. Maka akhirnya laungan reformasi/perubahan berkumandang di segenap pelusuk tanah air.

Saudara-saudari sekelian,

Justeru atas semangat dan roh tersebut, kita dari dulu hingga kini tidak jelak untuk terus menyuntik idea-idea segar ke arah memperkasakan agenda perubahan tersebut. Kita patut berbangga menjadi satu parti yang terkedepan dan berani mengambil risiko untuk mempromosikan dan membina budaya politik baru.

Politik baru yang kita tawarkan melalui Parti Keadilan Rakyat ialah politik yang berteraskan nilai(value-based politic). Sebab itu, adalah satu kesilapan sekiranya kita menggunakan UMNO-BN sebagai kayu ukur/benchmark. Justeru itu, proses Pemilihan 2010 ini ialah satu peluang “experiental learning” untuk kita bersama membina budaya politik baru di Negara ini.

Demokrasi memberi ruang untuk semua menyatakan pendapat dan pendirian. Demokrasi juga perlu dilihat dari perspektif kita bermesyuarah untuk membuat keputusan. Demokrasi membawa maksud keterbukaan untuk memberi dan mendengar pandangan dari semua. Demokrasi bukan sekadar memerlukan kita bertoleransi sesama kita tetapi kesediaan untuk meraikan kepelbagaian yang ada, kerana akhirnya kita memerlukan semua.

Justeru saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur atas usaha murni ini di mana medan DEBAT seperti ini insyaallah akan kekal menjadi salah satu unsur ataupun mekanisme untuk kita meraikan demokrasi ke arah memartabatkan budaya poltik baru khususnya dalam Parti dan Negara amnya.

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahhim…saya merasmikan siri pertama DEBAT CALON KETUA ANGKATAN MUDA MALAYSIA(AMK) bagi sesi 2010-2013 ini.

Sekian.