Kampung Air Kuning, Changkat Jering, Perak 12 Februari 2010 – Kemelut tidak berkesudahan berterusan melanda Encik Mohd Salleh Bin Ariffin yang telah lebih sedekad memerah keringat mengusahakan tapak bekas lombong terbiar yang terletak di Lot 2648, belakang Taman Kuning Sari, Air Kuning, Perak.. Operasi perlanggaran pusingan ke 2 oleh pihak Pejabat Tanah Daerah Larut Matang dan Selama pada pukul 9.00 pagi 11 Februari 2010, mengingatkan kembali peristiwa pelanggaran pusingan pertama pada Julai 2008 yang lalu. Peristiwa duka hampir 2 tahun yang lalu mengakibatkan bukan sedikit kerugian malahan melumpuhkan aktiviti penternakan khususnya ikan jeli bila mana kolam-kolam dipecahkan, rumah pembenihan dirobohkan selain bangsal lembu serta ladang rumput napier hampir 2 ekar diratakan. Lebih memeritkan lagi mereka berlalu begitu saja, ganti rugi yang dituntut tidak diendahkan.
Kali ini mereka datang lagi dengan lebih besar jumlah anggota dan keterlibatan lebih agensi kerajaan; Unit Simpanan Persekutuan(FRU), Penguatkuasa Majlis Perbandaran Taiping(MPT), anggota polis IPD Taiping, JKR Daerah Taiping serta disokong jentera pihak syarikat GAMUDA iaitu pemaju yang dipertanggungjawabkan untuk menambak kawasan yang sedang diusahakan oleh Encik Mohd Salleh ini.
“Mereka datang umpama memerangi penjenayah tegar! Dosa kami hanyalah kerana membangunkan dan mengusahakan tanah terbiar kepada kawasan penternakan dan pertanian. Malahan saya sendiri awal-awal lagi digari dan ditahan atas tuduhan menggugut dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, sebelum mereka meneruskan operasi perobohan tersebut. Apalah daya saya dan rakan-rakan untuk mempertahankan hak hasil keringat kami selama ini. Paling mampu hanya berkata-kata walaupun hati sayu dan sedih melihat semua prasarana di kawasan ini dihancurkan; kandang kambing, bangsal lembu, reban ayam, rumah pembenihan ikan, kolam ikan, rumah pekerja, rumah majikan serta pohonan buah-buahan diranapkan sebegitu rupa!Habis bertempiaran haiwan peliharaan! Kecewa dan keliru bila mengenangkan dulunya pemerintah sendiri menggalakkan khususnya bumiputra untuk membangunkan tanah terbiar dengan aktiviti pertanian dan penternakan namun setelah pelaburan hampir ratusan ribu dicurahkan ini pula yang dapat!”ujar Encik Mohd Salleh.
Akur bahawa tanah yang sedang beliau dan rakan-rakan usahakan ini adalah milik kerajaan negeri namun persoalannya adakah ini tindakan sehabis cara yang mampu difikirkan oleh pejabat Tanah Daerah Larut Matang dan Selama?.Paling kurang nilaikanlah keringat, usaha dan pelaburan yang telah dibuat selama ini. “Tidak bertamadun dan anggap kami macam anjing kurap!”tegas beliau lagi. Sejak tarikh mula masuk ke kawasan ini pelbagai surat permohonan dan rayuan dikirimkan kepada pihak-pihak yang berkenaan seperti pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, Pejabat Menteri Besar Perak malahan ke Putrajaya. Selepas perlanggaran pusingan pertama pada Julai 2008, kami ada mengutus surat kepada Dato Pegawai Daerah berisikan cadangan untuk mengatasi kemelut ini namun tidak bersambut. Malahan beberapa perbincangan dibuat antara pengusaha dan pihak syarikat GAMUDA kononnya bersedia memberikan ganti rugi juga berlalu begitu saja. Terbaru adalah surat yang dikirimkan kepada YAB Dato Seri Perdana Menteri Malaysia.“Kami terkejut dan tidak sangka dengan tindakan ini sedangkan surat yang kami ajukan pada YAB Dato Seri Perdana Menteri Malaysia pada 22 Disember 2009 telah dirujuk kepada pejabat Menteri Besar Perak yang bertarikh 14 Januari 2010 agar diperhalusi rayuan permohonan kawasan ini. Hal ini juga sampai ke pengetahuan Dato Pegawai Daerah pada 29 Januari 2010. Semua ini ada salinannya pada kami. Tetapi bila ditanya arahan siapa untuk terus melanggar kawasan ini, pegawai pejabat Tanah Daerah menjawab bahawa ianya arahan Exco Kerajaan Negeri! Keliru kami dibuatnya kerana masing-masing ingin menggelak untuk bertanggungjawab!” terang beliau lagi.
“Kami khuatir gagasan “1Malaysia:Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan” hanya retorik dan tinggal omongan sahaja. Selepas 48 jam...inikah hadiah MB Zambry kepada kami? Kami mohon MB Perak campurtangan lagipun ADUN Changkat Jering tak boleh harap!”, akhir kata beliau.
Kenyataan Media..
Encik Mohd Salleh menunjukkan surat-surat yang dikirimkan kepada YAB PM..semuanya dalam perhatian dan proses menanti jawab-balas.
Encik Mohd Salleh dan rakan-rakan pengusaha. Demo aman..
No comments:
Post a Comment