Sunday, October 10, 2010

Pemilihan 2010 : Qabil dan Habil

Dalam politik khususnya bagi mana-mana ahli politik, kemuncak kenikmatan tertinggi atau perkara yang paling menyeronokkan ialah pertama ; pemilihan pemimpin dalam parti dan kedua; pilihanraya, pemilihan pemimpin negara. Walaupun lapangan berbeza tetapi tujuan asasnya itu adalah sama iaitu “memilih”. Seperkara lagi yang membuatkan ahli politik “histeria” di kemuncak kenikmatan tertinggi ini adalah peluang atau satu-satunya peluang untuk melondehkan pesaing masing-masing. Apa boleh buat kerana inilah trend dan budaya politik yang masih mendapat demand kalangan khalayak Malaysia.

Antara Harapan dan Dilema

Ta’kala rakyat didendangkan budaya politik sedemikian, PKR mengambil langkah berani memperkenalkan dan menyuntik elemen baru “satu ahli satu undi”, pembudayaan politik yang diharapkan dapat membawa ahli parti dan rakyat amnya untuk melihat demokrasi dari sisi pandang yang berbeza, segar dari biasa.

Namun aspirasi murni tersebut sedikit tercemar dengan insiden yang berlaku ketika minggu-minggu pemilihan peringkat Cabang yang lalu. Isu terlebih peti dan kertas undi, status keahlian dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat(JPP) tidak profesional berbangkit. Namun isu ini tidak mengusarkan kerana sistem yang dibentuk adalah alat untuk menilai sejauh mana keberkesanan tujuan yang diinginkan. Selagi ianya tidak memenuhi keinginan maka tuan yang mencipta sistem tersebut bebas untuk bereksperimentasi walaupun sedar keinginan mutlak mustahil dapat dicapai. Justeru parti khususnya JPP masih mempunyai ruang untuk menambah-baik. Itu tidak menjadi hal.

Apa yang menjadi sedikit kebimbangan adalah kegagalan entiti untuk memahami maksud dan tujuan yang ingin dibentuk oleh sistem tersebut. Walau sehebat manapun ianya tetap gagal jika entiti tersebut gagal. Antara kegagalan entiti diterjemahkan dengan pertentangan persaingan yang menjelekkan…selinsing baju, baling kerusi, pembunuhan karekter, tidak meraikan , perbezaan pandangan diperlecehkan dan sebagainya.

Pertikaian dan Pertentangan Antara Sahabat

Ramai ahli politik lekas mentakwilkan akan pertentangan ataupun perebutan kuasa seperti Zubair dan Thalhah bertentang denga Saidina Ali r.a sehingga meragut nyawa. Lebih popular kata-kata,”di mana ada Ali, di situ ada Muawiyyah”, semata-mata untuk menjustifikasikan. Memanglah benar tetapi apa yang dikesali ialah ahli poltik jenis ini kerap kali terlupa “iktibar besar” dan gagal mengangkat persoalan akhlak dari pertentangan tersebut, seolah-olah mengungkapnya sebagai alas untuk berlepas-tangan kerja kotor mereka. Tambah melucukan mereka tanpa sedar menganggap taraf mereka sama dengan para sahabat.

Yang sepatutnya mereka teladani adalah bagaimana akhlak sahabat ta’kala berbeda pandangan mahupun ketika kemuncak pertentangan. Iktibar dan hikmah kepada kita untuk menjadi lebih baik bukan mengulang-ulang perkara atau kelaku yang jelas memerosotkan kualiti dan nilai keinsanan.

Diriwayatkan oleh Abu Bakar dari Abul Bukhturi, katanya;“ketika Ali ditanya tentang lawan-lawannya(yang dipimpin oleh Zubair, Thalhah dan Ummu Mukminin sendiri) di medan Perang Jamal, “Apakah mereka termasuk kaum musyrikin?” Jawab Ali,”Mereka adalah orang-orang yang berlari dari perbuatan syirik”. Tanya mereka, “ Apakah mereka termasuk kaum munafikin”.Jawab Ali,”Kaum munafikin adalah orang-orang yang mengingat Allah hanya sedikit”. Tanya mereka lagi, “Kalau begitu siapakah mereka?”. Kata Ali,”Mereka adalah saudara-saudara kami yang melampaui batas kepada kami, dan aku berharap semoga kami termasuk kelompok orang-orang yang difirmankan oleh Allah, “Dan kami cabut segala macam dendam yang ada di dalam mereka, dan mereka menjadi bersaudara”.

Al Allama Ibnu Khaldun berkomentar, “Sahabat bertentang didasari dengan bukti-bukti yang kuat. Pertentangan dan pertikaian mereka hanyalah merupakan usaha-usaha untuk menwujudkan kebenaran, tiada sedikitpun unsur-unsur lain. Keyakinan kita bahawa pertikaian mereka membawa rahmat dan iktibar bagi umat mendatang, agar setiap individu umat dapat memilih perjalanan siapa terbaik antara mereka dalam perihal memilih pimpinan. Terbukanya pintu fitnah di kalangan para sahabat adalah setelah terbunuhnya Khalifah Usman Ibnu Affan r.a. Apa yang terjadi di kalangan sahabat-sahabat nabi dapatlah dimaafkan, sebab mereka mempunyai perasaan yang sama, iaitu hendak menegakkan agama, kemudian mereka menghadapi persoalan tersebut menurut ijtihad masing-masing untuk menegakkan kebenaran. Andaikata Saidina Ali di pihak yang benar, maka tidaklah Muawiyah mempunyai motif yang salah, hanya saja ianya salah dari segi tindakan”.

Kita

Tetapi persolannya kita bagaimana? Tapak pertentangan? Terpakaikah hujah berikut ta’kala kita telah dibentangkan pengajaran serta iktibar. Setakat ini jelas kecenderungan kita bertentang asasnya hasad. Elemen-elemen hasad karakternya memusnahkan untuk mencipta atau mencapai kejayaan. Bila pertentangan didasari hasad maka bertindaklah kita seperti Qabil. Qabil kesudahan adalah hancur binasa.

Apakah kebinasaan kesudahan yang diinginkan oleh ahli? Siapakah Qabil, siapakah Habil ?

Kini semuanya tertanggung atas pundak dan kebijaksanaan ahli akar umbi.

No comments:

Post a Comment