Thursday, October 28, 2010

ZAID UNTUK RAKYAT

“Politik baru Budaya baru, penawaran serta keupayaan menjadi taruhan. Asasnya kekuatan prinsip dan kekentalan idealisme perjuangan berasaskan NILAI. Bukan isu remeh orang lama atau orang baru, kesetiaan belum teruji dan lebih malang menabur fitnah. Setia sifat terpuji tetapi taklid buta menyanggah aspirasi. Mendepani suasana politik mutaakhir ini, Parti kita yakni PKR mestilah bersifat inklusif bukan eksklusif dan inilah tekad awal penubuhan kita. Kita meraikan semua, pelbagai latar kaum, budaya dan agama. Kepada yang ingin bersama dan menyumbang kita alu-alukan. Justeru manfaatkanlah pemilihan julung ini, 1 ahli 1 undi bermula esok 30 okt 2010. Selamat menunaikan hak kita sebagai ahli”-Datuk Zaid Ibrahim,28 Oktober 2010 Kampar, Perak

Soal Kesetiaan

Isu ini jelas tidak relevan dan lemah tambahan pula jika ianya berkait dengan Parti yang terkedepan di dalam mengusulkan politik baru budaya baru dan juga kaedah 1 ahli 1 undi yang aspirasinya meraikan semua yang ingin menyumbang. Jadi dari segi bahasanya isu ini adalah tertolak dan tidak terpakai.

Bagi yang muslim, menelusuri sirah para sahabat Rasulullah SAW, kisah Saidina Umar ibni al-Khattab, jika Saidina Abu Bakar As Siddiq memikirkan bahawa Saidina Umar ini "baru" maka tidak diangkatnya beliau untuk menjadi penasihatnya malahan dilantik menjadi Khalifah Islam berikutnya selepas beliau. Siapa tidak tahu berkenaan sikap Saidina Umar sebelum Islam. Ganas, zalim, tanam anak hidup-hidup dan peminum arak tegar.

Kenyataan "orang lama orang baru" adalah bodoh sifatnya dan tidak membawa untung kepada keutuhan parti, yang pasti ianya hanya akan menerbitkan tunas-tunas fraksi lama dan baru yang bakal memporak-perandakan kesatuan parti jika ianya dibenarkan berterusan. Terus ianya menjurus kepada "kasta" status keahlian. Kasta di India pun rata-rata rakyatnya campakkan ke longkang, kita pula ingin mengutipnya. Ini jelas berlawanan dengan aspirasi Parti yang meraikan kepelbagaian, dinamika serta organisasi progresif sifatnya. KESETIAAN, kita diajar berkiblatkan kepada prinsip dan idealisme perjuangan parti bukan sosok tubuh. Selagi mana sosok tubuh istiqamah kepada prinsip dan idealisme perjuangan maka jaminan untuk terus mengangkatnya dikotakan. Tiada apa yang perlu dirisaukan.

“Saya adalah orang yang suka berterus-terang..kalau ada masaalah jangan sembunyikan..tetapi biasalah bila kita berterus-terang, akan ada orang yang tidak suka kita. Tetapi kita jangan lupa UMNO-BN menjadi rosak bila mana sindrom penafian(state of denial) ini menjadi popular di bibir pimpinannya..tidak boleh mengkritik..akhirnya budaya Yes Man membarah…realiti dikesampingkan. Bagaimana kita mahu menuju ke Putrajaya dan ingin reform urus tadbir Negara jika kita sendiri tidak bersedia untuk reform kekurangan yang ada di dalam parti..Jika kita berjiwa besar dan realis dengan kekurangan, insyaallah Putrajaya milik kita!”-Datuk Zaid Ibrahim 28 Oktober 2010, Kampar, Perak.

No comments:

Post a Comment