Friday, September 24, 2010

Pemilihan 2010 : Mencari Kepimpinan Jeneral dalam PKR


Di dalam teks The Art of War, Sun Tzu mengutarakan beberapa faktor asas persekitaran yang perlu dianalisis demi untuk mengangkat sesebuah organisasi mencapai kejayaan. Dari beberapa faktor asas itu diperhalusi pula kepada aspek berikut:

1) Aspek persekitaran dalaman organisasi-Kekuatan dan kelemahan

2) Aspek persekitaran luaran organisasi-Peluang dan Ancaman.

Sesuai dengan iklim pemilihan 2010, pilihan penulisan ini tentulah kepada aspek persekitaran dalaman organisasi-kekuatan dan kelemahan. Diiktibarkan dari aspek tersebut bahawa di dalamnya terkandung 3 faktor pada perkiraan Sun Tzu jika mana dapat diolah dengan baik oleh pemimpin sesebuah organisasi tersebut maka ianya dapat melonjak sesebuah organisasi dalam pencapaian objektif tertentu.Tentulah sebagai organisasi politik pencapaian objektif tersebut adalah kuasa politik. Faktor tersebut ialah:

i) Hal Ehwal Dao atau Alasan Moral,

ii) Kepimpinan Jeneral dan

iii) Pengelolaan dan disiplin.

Daripada ketiga-tiga faktor tersebut, Kepimpinan Jeneral menjadi perhatian.

Kepimpinan Jeneral melambangkan unsur kepimpinan di dalam sebuah organisasi tersebut. Seorang pemimpin dalam maksud kepimpinan Jeneral haruslah mempunyai sifat bijaksana supaya dia bukan sahaja dapat mengetahui apa yang berlaku di dalam organisasi tetapi juga boleh meramal melewati situasi semasa untuk mengetahui implikasi strategik organisasi yang dipimpinnya. Ini penting untuk membaca dan membuat persediaan ke atas peluang dan ancaman yang mungkin dihadapi organisasi dan pada masa yang sama merancang strategi yang sesuai.

Sifat kesetiaan, keberanian, ketegasan dan keperimanusian menjadi ciri-ciri seorang pemimpin berkepimpinan Jeneral tetapi sifat bijaksana mendapat tempat tertinggi mengatasi ciri-ciri yang disebutkan di atas. Kepimpinan Jeneral juga merentasi etnik, agama atau budaya akan kepopularan dan penerimaannya.

Melihat dari konteks organisasi Parti Keadilan Rakyat(PKR), kepimpinan Jeneral kalangan pemimpinnya belum serlah. Popular dan diterima pada kalangan tertentu tetapi sebaliknya pada kalangan tertentu yang lain. Kebijaksanaan kata-kata diterjemahkan kepada keberanian tindakan dan kerja buatnya belum cukup terbukti. Kejujuran dan keterbukaan berlawanan sikap “sweep under the carpet di dalam menangani sesuatu isu cukup mendesak dan ditagih ramai khususnya ahli parti. Hujah ini dikemukakan atas premis dan dakwaan masih kedapatan situasi mesyuarat dalam mesyuarat, agenda dalam agenda, entiti dalam entiti dan “berdepan bersama, bertentang berbeda” di dalam mengatur perjalanan organisasi Parti.

Polemik Idealisme

Bagi orang Melayu bila melewati isu idealisme perjuangan PKR, masih ramai malu-malu ataupun berasa ngeri untuk melibatkan diri secara langsung. Hujah mereka yang masih tidak dijawab secara jujur dan tuntas hingga kini ialah apakah jaminan PKR mampu untuk melindungi status quo melayu itu dan perkembangan Islam. Walaupun ramai mangakui bahawa idealisme perjuangan PKR yang dikatakan menentang kezaliman dan tuntutan terhadap reformasi sosioekonomi dan politik itu bersifat Islam, namun sifat parti yang rencam@majmuk-etnik dan majmuk-agama, maka perjuangan berkenaan terpaksa berpaksikan kepada nilai-nilai universal, bukan kepada nilai-nilai Islam secara khusus dan konkrit. Akhirnya hal demikian tidak dinafikan melibatkan neutralisasi dan pengenduran nilai-nilai spesifik agama, khususnya di dalam konteks ini, nilai-nilai spesifik Islam itu sendiri.

Menjadi kerisauan orang Melayu ianya bakal menghakis sifat-sifat budaya dan nilai Islam itu sendiri serta memisahkannya dengan persoalan-persoalan epistemologi dan pandangan hidupnya(world view). Itu belum menyentuh soal doktrinisasi(pentarbiyyahan) parti. Kelangsungan perjuangan dan kekentalan idealisme cukup berkait rapat dengan doktrinisasi yang diterapkan kalangan ahli. Jika tidak perjuangan tersebut akan longgar dan tidak objektif. Justeru apakah elemen-elemen yang perlu disuntik ke dalam silibus doktrinisasi tersebut? Maka sudah semestinya nilai-nilai universal diutamakan dengan alasan sikap toleransi, akomodatif dan apologetik terpaksa menjadi paksi agar suasana harmoni dapat diwujudkan dan tujuan bersama dapat direalisasikan. Sekali lagi neutralisasi dan pengenduran nilai-nilai Islam mendapat tempat.

Polemik Kaum Bukan Melayu

Prejudis dan kesetiaan perjuangan kaum bukan Melayu di dalam PKR khususnya kaum Cina juga kerap menjadi polemik, kewujudan entiti di dalam entiti dan sikap selesa bergerak kalangan sendiri, mati idea atau canggung jika duduk di dalam kebersamaan menyeluruh. Kerap kali kedengaran program diatur tidak dibincangkan dan selalu bertindak atas kapasiti biro-biro tertentu.Mungkin sikap ini adalah reaction kepada tindakan kerja buat selama ini. Akhirnya kelihatan seolah-olah satu kapal dua nakhoda, sama lirik tapi alunan lagu berbeza. Ibarat pepatah, “bantal sama, mimpi lain-lain” . Amatlah malang jika ada kumpulan yang cuba mengambil kesempatan atas nama dan perjuangan ini. Lebih amat malang jika ianya benar-benar berlaku.

Namun atas apa permasalahan pun, ianya perlukan kebijaksanaan pimpinan untuk segera tangani. Sama ada kegagalan membentuk kebersamaan jati diri atau sebaliknya ianya adalah terletak atas pundak pemimpin untuk merungkaikannya. Mulai kini aspek persekitaran dalaman organisasi perlu dititik-beratkan dan dicernakan sebaik mungkin kerana ianya cerminan kepada umum sejauh mana komitmen dan bukti keseriusan Parti di dalam mendepani persoalan tuntutan reformasi politik dan sosioekonomi. Mana yang perlu dirungkaikan, segeralah dirungkaikan.

Mana mungkin untuk melakukan perubahan politik tanah air dan memperkasakan urus tadbir negara jika pendokong parti khususnya pemimpin dan ahlinya sendiri masih bersimpang-siur serta celaru akan prinsip dan asas-asas perjuangan parti yang didokonginya.

Sedari persoalan-persoalan di atas adalah cabaran sekitar perjalanan parti ke arah membina kebersamaan dan kekuatan, maka barisan kepimpinan yang bakal dipilih khususnya posisi Timbalan Presiden haruslah mempunyai iltizam, kejujuran, keberanian serta kebijaksanaan untuk menangani situasi tersebut. Perebutan jawatan bukan sekadar untuk mendapatkan pengiktirafan dan kuasa tetapi lebih dari itu ianya adalah tanggungjawab yang terpikul atas jawatan seseorang itu untuk memperkasakan organisasi Parti. Hidup adalah perjuangan, perjuangan perlukan cabaran, melepasi cabaran adalah intipati ke arah kejayaan. Begitu juga dengan Parti Keadilan Rakyat(PKR), parti perjuangan harapan rakyat dan masa hadapan yang punyai potensi untuk mengepalai perubahan dan mencatat nama gemilang di dalam lipatan kamus sejarah politik tanah air. Namun sehingga itu, cabaran-cabaran di atas perlulah segera disantuni.

Justeru antara Zahid, Azmin dan Mustaffa siapakah pemimpim berkepimpinan jeneral itu?

No comments:

Post a Comment