
Dato' Seri Anwar Ibrahim akan bertandang dan berprogram di Changkat Jering pada 18 Dis 2010. Maklumat lanjut akan meyusul. Sini
Menarik sekali ungkapan Gracenus Babeuf di tahun 1795 mengenai Robespierre Maximilien yang menjadi mangsa serangan tak bermoral. Musuhnya Danton adalah seorang pemimpin Revolusi Perancis yang mempamerkan nafsu dan kegilaannya pada duit, kekuasaan dan sikap merendahkan nilai-nilai sivik. Danton kononnya cinta kepada Republik Perancis tetapi pandangannya tentang Republik itu adalah tempat ahli Revolusi menggantikan golongan bangsawan yang digulingkan itu. Sebagaimana mereka, ahli-ahli Revolusi ini akan mengumpulkan emas, harta, istana, gundik-gundik serta segalanya yang memberikan nikmat.¹
Apakah ini yang dikehendaki oleh Robespierre? Tidak! Yang mengerakkan jiwa Robespierre adalah keadilan social(social justice) dan kemajuan manusia. Rakan revolusi lainnya seperti Danton hanya ingin menggantikan mereka yang digulingkan. Ini satu masalah besar. Adakah yang menggantikan pimpinan itu hanya mengganti tempat atau mengganti sifat? Setiap perjuangan yang sejati akan mengganti sifat keadaan yang perlu diubah, bukan sekadar mengganti tempat duduk dari bawah naik ke atas atau dari samping geser ke tengah, akhirnya jatuh kerana lengah, setelah hidup terlalu mewah, derita rakyat tidak diendah.²
Bercakap soal serangan tak bermoral dulu tokoh agung reformasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah terkena. Kita lekas bangkit mempertahankan kerana kita muak dengan permainan begitu. Harapan kita biarlah ianya yang terakhir. Mohon tidak mahu lagi kelaku jelek UMNO-BN membudaya . Kita impikan persaingan politik atas keupayaan dan idea yang ditawarkan, politik baru. Namun usaha selama lebih 10 tahun masih belum cukup tercerna. Masih kedapatan ahli yang terliur cara lama. Nah kini Zaid terkena! Soal Zaid salah atau tidak itu perkara kedua tetapi yang utama adalah kaedah dan cara kita berurusan menangani situasi tersebut. Kalau Zaid mahu sesat biarkan tetapi kita jangan turut sesat!
Ada berkata itu perkara biasa, masa suka segalanya indah dan harum tetapi bila tidak suka mulalah timbul perkara-perkara yang kita sendiri pun tidak terfikir! Ini budaya politik UMNO-BN! Ada juga berpandangan tidak perlu kita menjadikan UMNO-BN sebagai benchmark, tetapi kita juga harus faham setakat hari ini realitinya rakyat gemar melihat dari contoh yang dekat .
Bagi kita pendokong reformasi tiada istilah “perkara biasa” untuk kes-kes seperti itu. Ianya adalah perkara “luar biasa” dan aib bagi kita. Melainkanlah masih ada “hantu” Danton di dalam diri. Justeru antara Robespierre dan Danton, manakah matlamat kita? Fikir-fikirkanlah.
Nota: 1. & 2. KEADILAN SOSIAL TUNTUTAN MUTLAK- Dr. Syed Hussein Alatas
Saranan dan gagasan politik baru yang berideakan agenda reform khususnya kepada urus tadbir negara yang telus serta pengagihan adil dan cemerlang bersambut lantaran UMNO-BN gagal dari segala segi. Rakyat gembira dan menanti penuh harapan. 2008 merubah suasana, walaupun federal masih milik UMNO-BN namun Pakatan Rakyat(PR) diberikan peluang mentadbir beberapa buah negeri. Masa bercakap sudah berlalu kini tinggal perlaksanaan.
Walaupun dalam tempoh perlaksanaan ada kekurangan, rakyak tetap sabar dan menunggu penuh harap. Kerana mereka sedar keterbatasan upaya negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat(PR). Selagi federal tidak dikuasai selagi itu ruang untuk UMNO-BN memanupulasi keadaan cukup tinggi khususnya di negeri-negeri yang di perintah Pakatan Rakyat(PR).
Namun ada perkara yang membuat rakyat tidak dapat menahan sabar dan naik muak apabila permainan politik dalaman parti-parti Pakatan Rakyat(PR) masih jelas kelihatan cara UMNO-BN. DAP dengan isu kronisme kepimpinan serta isu pilih bulu dan PAS sekitar isu Erdogan vs Kerajaan Perpaduan, namun PKR lebih menyerlah dan cukup mendapat perhatian UMNO-BN untuk bersama-sama dengan “berbesar hati” menolong menyerlahkan lagi isu-isu dalaman yang berlaku. Paling hebat mendapat perhatian media arus perdana ialah berkenaan isu pemilihan PKR 2010.
Umum tidaklah menghairankan UMNO-BN terliur untuk terus-terusan menganyang PKR kerana di atas dua faktor iaitu faktor penyatu yang ada pada Dato Seri Anwar Ibrahim. Ketokohan beliau mencatatkan sejarah politik tanah air bila mana parti PAS dan DAP sudi duduk bersama PKR membentuk Pakatan Rakyat(PR), kedudukan yang cukup mengancam adikuasa UMNO-BN tambahan menjelang PRU 13 . Sefaktor lagi ialah PKR sebagai pesaing UMNO dari segmen pasaran politik orang Melayu walaupun diakui sasaran keanggotaannya menterjemahkan posisi kaum di Malaysia. Diakui ramai masih terdapat ahli UMNO yang terpikat secara langsung atau tidak langsung kepada parti ini. Cuma keadaan atau suasana yang menghalang mereka untuk memberikan sokongan secara terbuka.
Bagi orang Melayu kategori “fencesitter”, UMNO-BN sudah tidak boleh diharapkan lagi cuma kini terserah kepada PKR dan rakan Pakatan Rakyat(PR) mengolah suasana ini untuk menggarap sokongan sama ada untuk menjadi anggota ataupun menterjemahkan sokongan kepada bentuk undi pada PRU ke 13 nanti. Untuk mereka ini pimpinan Pakatan Rakyat(PR) khususnya PKR perlu mengerti fitrah budaya orang Melayu sebelum boleh menawan hati mereka. Orang melayu, mereka lebih senang dan terkesan dengan suasana aman serta lancar dan ini termasuk bagi perjalanan sesebuah organisasi. Setakat ini PKR belum menunjukkan prestasi yang membanggakan dari segi maksud “aman serta lancar” itu.
Namun harapan untuk aman serta lancar kelihatan masih “jauh panggang dari api” lantaran kerenah pemimpin-pemimpin “nakal” yang mewarnai pemilihan satu undi satu ahli yang julung diperkenalkan. Menghairankan dan lebih mengaibkan adalah “aksi sampingan” berikutan pemilihan ini. Aksi yang menyumbang “talian hayat” kepada UMNO-BN. UMNO-BN memalu gendang, mereka terloncat-loncat menari macam beruk tertelan belacan malah terus berdendangan bersiulan ke serata walaupun gendang telah henti dipalu. Makin hampir ke Putrajaya semakin hilang fokus dan tidak siuman.
Umum dapat melihat bagaimana tidak bersedianya ahli parti untuk mendakap rapat aspirasi politik baru. Lain di mulut lain di hati dan tindakan. Christoper dengan cara Christoper, Rahman dengan cara Rahman. Macam budak tak cukup sifat. Di mana boleh kencing, mereka kencing. Orang melihat apa peduli! Bergaduh sampai adab dikesampingkan. Justeru tidak menghairankan jika ada penembak curi atas nama demokrasi akan menyerang hendap.
Kesudahnya telahan menjadi kenyataan, krisis kini memuncak. Zaid bertindak “membakar jambatan” , seorang lagi “main sembunyi-sembunyi” di sebalik lalang dan seorang lagi a.k.a “anak papa” seperti sedari awal terus-terusan berpaut erat di celah haruman ketiak.
Hakikatnya apa yang terjadi telah pun terjadi cuma apa yang ditunggu oleh ahli, rakan Pakatan Rakyat(PR) dan rakyat umumnya ialah sebaik mana Control Damage yang mampu diambil oleh pucuk kepimpinan PKR. Sejarah politik dunia mengkisahkan kepelbagaian permasalahan yang lebih besar namun jua rakyat melihat kepada ending sesebuah peristiwa itu sebagai garis akhir untuk menilai secara keseluruhan keupayaan serta wibawa organisasi tersebut. Seperti perlawanan bolasepak keputusan akhir yang tetap penting. Terserah, setiap tindakan akan ada reaksi maka jika mengharapkan reaksi yang positif maka seharusnya tindakan yang bakal diambil juga menyenangkan semua pihak.
Namun setakat ini Control Damage diambil “kelihatan” agak baik untuk PKR walaupun persoalan hakiki belum terungkai. Berikutan tindakan Zaid membakar jambatan, pantas diambil sebagai “modal yang maha agung” oleh beberapa pimpinan PKR untuk menyerang wibawa beliau lantas mengalih isu sebenar berkaitan pemilihan. Tindakan bodoh Zaid juga seolah-olah “mengesahkan” apa yang selama ini isu-isu yang dibangkitkan oleh pesaing-pesaing beliau. Serangan tersusun tersebut seolah-olah julap atau pelincir yang mujarab untuk “membantu” Zaid bertindak mengelincirkan dirinya dari PKR . Control damage yang jelek tetapi berkesan. Selepas ini PKR pasti tenang dan ahli serta penyokong akhirnya terduduk faham bahawa si trojan horse inilah punca segalanya, bukan ketidak-profesionalan JPP, bukan dek kelaku anak papa dan juak-juaknya. Maka inilah justifikasi yang dicanangkan kepada ahli bawahan bahawa wajib dan betul tindakan untuk mengelincirkan Zaid keluar dari PKR. Canangan ini telah pun menyusup ke cabang-cabang seluruh Malaysia.
Hari ini anak papa menghela nafas lega, perkara busuk dapat ditampung untuk ke sekian kalinya. Malang Zaid terus-terusan tanpa ikhtibar mengusahakan diri untuk dilihat umum sebagai politikus pondan dan cepat mengalah terus memperlecehkan reputasinya.
Apa pun terima kasih Zaid kerana tindakan bodoh kamu “menyelamatkan” PKR dan kepada si anak papa dan juak-juaknya janganlah terlalu gembira. Majoriti ahli PKR yang cerah otak tahu apa yang berlaku. Tanda “cacat” akan kekal dengan tandanya walaupun sehingga liang kubur. Perjalanan masih panjang! Berubahlah…!
Dalam politik khususnya bagi mana-mana ahli politik, kemuncak kenikmatan tertinggi atau perkara yang paling menyeronokkan ialah pertama ; pemilihan pemimpin dalam parti dan kedua; pilihanraya, pemilihan pemimpin negara. Walaupun lapangan berbeza tetapi tujuan asasnya itu adalah sama iaitu “memilih”. Seperkara lagi yang membuatkan ahli politik “histeria” di kemuncak kenikmatan tertinggi ini adalah peluang atau satu-satunya peluang untuk melondehkan pesaing masing-masing. Apa boleh buat kerana inilah trend dan budaya politik yang masih mendapat demand kalangan khalayak Malaysia.
Antara Harapan dan Dilema
Ta’kala rakyat didendangkan budaya politik sedemikian, PKR mengambil langkah berani memperkenalkan dan menyuntik elemen baru “satu ahli satu undi”, pembudayaan politik yang diharapkan dapat membawa ahli parti dan rakyat amnya untuk melihat demokrasi dari sisi pandang yang berbeza, segar dari biasa.
Namun aspirasi murni tersebut sedikit tercemar dengan insiden yang berlaku ketika minggu-minggu pemilihan peringkat Cabang yang lalu. Isu terlebih peti dan kertas undi, status keahlian dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat(JPP) tidak profesional berbangkit. Namun isu ini tidak mengusarkan kerana sistem yang dibentuk adalah alat untuk menilai sejauh mana keberkesanan tujuan yang diinginkan. Selagi ianya tidak memenuhi keinginan maka tuan yang mencipta sistem tersebut bebas untuk bereksperimentasi walaupun sedar keinginan mutlak mustahil dapat dicapai. Justeru parti khususnya JPP masih mempunyai ruang untuk menambah-baik. Itu tidak menjadi hal.
Apa yang menjadi sedikit kebimbangan adalah kegagalan entiti untuk memahami maksud dan tujuan yang ingin dibentuk oleh sistem tersebut. Walau sehebat manapun ianya tetap gagal jika entiti tersebut gagal. Antara kegagalan entiti diterjemahkan dengan pertentangan persaingan yang menjelekkan…selinsing baju, baling kerusi, pembunuhan karekter, tidak meraikan , perbezaan pandangan diperlecehkan dan sebagainya.
Pertikaian dan Pertentangan Antara Sahabat
Ramai ahli politik lekas mentakwilkan akan pertentangan ataupun perebutan kuasa seperti Zubair dan Thalhah bertentang denga Saidina Ali r.a sehingga meragut nyawa. Lebih popular kata-kata,”di mana ada Ali, di situ ada Muawiyyah”, semata-mata untuk menjustifikasikan. Memanglah benar tetapi apa yang dikesali ialah ahli poltik jenis ini kerap kali terlupa “iktibar besar” dan gagal mengangkat persoalan akhlak dari pertentangan tersebut, seolah-olah mengungkapnya sebagai alas untuk berlepas-tangan kerja kotor mereka. Tambah melucukan mereka tanpa sedar menganggap taraf mereka sama dengan para sahabat.
Yang sepatutnya mereka teladani adalah bagaimana akhlak sahabat ta’kala berbeda pandangan mahupun ketika kemuncak pertentangan. Iktibar dan hikmah kepada kita untuk menjadi lebih baik bukan mengulang-ulang perkara atau kelaku yang jelas memerosotkan kualiti dan nilai keinsanan.
Diriwayatkan oleh Abu Bakar dari Abul Bukhturi, katanya;“ketika Ali ditanya tentang lawan-lawannya(yang dipimpin oleh Zubair, Thalhah dan Ummu Mukminin sendiri) di medan Perang Jamal, “Apakah mereka termasuk kaum musyrikin?” Jawab Ali,”Mereka adalah orang-orang yang berlari dari perbuatan syirik”. Tanya mereka, “ Apakah mereka termasuk kaum munafikin”.Jawab Ali,”Kaum munafikin adalah orang-orang yang mengingat Allah hanya sedikit”. Tanya mereka lagi, “Kalau begitu siapakah mereka?”. Kata Ali,”Mereka adalah saudara-saudara kami yang melampaui batas kepada kami, dan aku berharap semoga kami termasuk kelompok orang-orang yang difirmankan oleh Allah, “Dan kami cabut segala macam dendam yang ada di dalam mereka, dan mereka menjadi bersaudara”.
Al Allama Ibnu Khaldun berkomentar, “Sahabat bertentang didasari dengan bukti-bukti yang kuat. Pertentangan dan pertikaian mereka hanyalah merupakan usaha-usaha untuk menwujudkan kebenaran, tiada sedikitpun unsur-unsur lain. Keyakinan kita bahawa pertikaian mereka membawa rahmat dan iktibar bagi umat mendatang, agar setiap individu umat dapat memilih perjalanan siapa terbaik antara mereka dalam perihal memilih pimpinan. Terbukanya pintu fitnah di kalangan para sahabat adalah setelah terbunuhnya Khalifah Usman Ibnu Affan r.a. Apa yang terjadi di kalangan sahabat-sahabat nabi dapatlah dimaafkan, sebab mereka mempunyai perasaan yang sama, iaitu hendak menegakkan agama, kemudian mereka menghadapi persoalan tersebut menurut ijtihad masing-masing untuk menegakkan kebenaran. Andaikata Saidina Ali di pihak yang benar, maka tidaklah Muawiyah mempunyai motif yang salah, hanya saja ianya salah dari segi tindakan”.
Kita
Tetapi persolannya kita bagaimana? Tapak pertentangan? Terpakaikah hujah berikut ta’kala kita telah dibentangkan pengajaran serta iktibar. Setakat ini jelas kecenderungan kita bertentang asasnya hasad. Elemen-elemen hasad karakternya memusnahkan untuk mencipta atau mencapai kejayaan. Bila pertentangan didasari hasad maka bertindaklah kita seperti Qabil. Qabil kesudahan adalah hancur binasa.
Apakah kebinasaan kesudahan yang diinginkan oleh ahli? Siapakah Qabil, siapakah Habil ?
Kini semuanya tertanggung atas pundak dan kebijaksanaan ahli akar umbi.
Ramai teman-teman yang saya kirim SMS malam tadi memaklumkan kemenangan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Ketua Cabang Kuala Selangor dengan majoriti selesa, membalas dengan menyatakan rasa syukur dan lega mereka.
TSK sejak sekian lama menghadapi pelbagai masalah dengan beberapa kerat ahli di Kuala Selangor yang secara luar biasa membuat pelbagai desakan dan tuntutan. Namun TSK tekun menghadapinya dan terus melakukan yang terbaik untuk parti di sana.
Lebih 1,400 orang keluar mengundi di Kuala Selangor. Tetapi hanya sekitar 200 orang dilaporkan mengundi di Gombak. Ini adalah satu fenomena pelik. Dahulu saban tahun hanya tiga Bahagian boleh diharapkan untuk mempunyai kehadiran yang mantap (sekitar beberapa ratus) — Permatang Pauh, Gombak dan Shah Alam.
Pada tahun 2004, lebih seratus ahli hadir pada mesyuarat Angkatan Muda Keadilan Gombak. Tetapi kini tatkala ribuan anggota hadir di Kuala Selangor dan beberapa cabang lain, apakah kehadiran di Gombak merosot padahal mesyuarat gah diadakan di hotel?
Apa sudah jadi dan apa nak jadi?
Di dalam teks The Art of War, Sun Tzu mengutarakan beberapa faktor asas persekitaran yang perlu dianalisis demi untuk mengangkat sesebuah organisasi mencapai kejayaan. Dari beberapa faktor asas itu diperhalusi pula kepada aspek berikut:
1) Aspek persekitaran dalaman organisasi-Kekuatan dan kelemahan
2) Aspek persekitaran luaran organisasi-Peluang dan Ancaman.
Sesuai dengan iklim pemilihan 2010, pilihan penulisan ini tentulah kepada aspek persekitaran dalaman organisasi-kekuatan dan kelemahan. Diiktibarkan dari aspek tersebut bahawa di dalamnya terkandung 3 faktor pada perkiraan Sun Tzu jika mana dapat diolah dengan baik oleh pemimpin sesebuah organisasi tersebut maka ianya dapat melonjak sesebuah organisasi dalam pencapaian objektif tertentu.Tentulah sebagai organisasi politik pencapaian objektif tersebut adalah kuasa politik. Faktor tersebut ialah:
i) Hal Ehwal Dao atau Alasan Moral,
ii) Kepimpinan Jeneral dan
iii) Pengelolaan dan disiplin.
Daripada ketiga-tiga faktor tersebut, Kepimpinan Jeneral menjadi perhatian.
Kepimpinan Jeneral melambangkan unsur kepimpinan di dalam sebuah organisasi tersebut. Seorang pemimpin dalam maksud kepimpinan Jeneral haruslah mempunyai sifat bijaksana supaya dia bukan sahaja dapat mengetahui apa yang berlaku di dalam organisasi tetapi juga boleh meramal melewati situasi semasa untuk mengetahui implikasi strategik organisasi yang dipimpinnya. Ini penting untuk membaca dan membuat persediaan ke atas peluang dan ancaman yang mungkin dihadapi organisasi dan pada masa yang sama merancang strategi yang sesuai.
Sifat kesetiaan, keberanian, ketegasan dan keperimanusian menjadi ciri-ciri seorang pemimpin berkepimpinan Jeneral tetapi sifat bijaksana mendapat tempat tertinggi mengatasi ciri-ciri yang disebutkan di atas. Kepimpinan Jeneral juga merentasi etnik, agama atau budaya akan kepopularan dan penerimaannya.
Melihat dari konteks organisasi Parti Keadilan Rakyat(PKR), kepimpinan Jeneral kalangan pemimpinnya belum serlah. Popular dan diterima pada kalangan tertentu tetapi sebaliknya pada kalangan tertentu yang lain. Kebijaksanaan kata-kata diterjemahkan kepada keberanian tindakan dan kerja buatnya belum cukup terbukti. Kejujuran dan keterbukaan berlawanan sikap “sweep under the carpet” di dalam menangani sesuatu isu cukup mendesak dan ditagih ramai khususnya ahli parti. Hujah ini dikemukakan atas premis dan dakwaan masih kedapatan situasi mesyuarat dalam mesyuarat, agenda dalam agenda, entiti dalam entiti dan “berdepan bersama, bertentang berbeda” di dalam mengatur perjalanan organisasi Parti.
Polemik Idealisme
Bagi orang Melayu bila melewati isu idealisme perjuangan PKR, masih ramai malu-malu ataupun berasa ngeri untuk melibatkan diri secara langsung. Hujah mereka yang masih tidak dijawab secara jujur dan tuntas hingga kini ialah apakah jaminan PKR mampu untuk melindungi status quo melayu itu dan perkembangan Islam. Walaupun ramai mangakui bahawa idealisme perjuangan PKR yang dikatakan menentang kezaliman dan tuntutan terhadap reformasi sosioekonomi dan politik itu bersifat Islam, namun sifat parti yang rencam@majmuk-etnik dan majmuk-agama, maka perjuangan berkenaan terpaksa berpaksikan kepada nilai-nilai universal, bukan kepada nilai-nilai Islam secara khusus dan konkrit. Akhirnya hal demikian tidak dinafikan melibatkan neutralisasi dan pengenduran nilai-nilai spesifik agama, khususnya di dalam konteks ini, nilai-nilai spesifik Islam itu sendiri.
Menjadi kerisauan orang Melayu ianya bakal menghakis sifat-sifat budaya dan nilai Islam itu sendiri serta memisahkannya dengan persoalan-persoalan epistemologi dan pandangan hidupnya(world view). Itu belum menyentuh soal doktrinisasi(pentarbiyyahan) parti. Kelangsungan perjuangan dan kekentalan idealisme cukup berkait rapat dengan doktrinisasi yang diterapkan kalangan ahli. Jika tidak perjuangan tersebut akan longgar dan tidak objektif. Justeru apakah elemen-elemen yang perlu disuntik ke dalam silibus doktrinisasi tersebut? Maka sudah semestinya nilai-nilai universal diutamakan dengan alasan sikap toleransi, akomodatif dan apologetik terpaksa menjadi paksi agar suasana harmoni dapat diwujudkan dan tujuan bersama dapat direalisasikan. Sekali lagi neutralisasi dan pengenduran nilai-nilai Islam mendapat tempat.
Polemik Kaum Bukan Melayu
Prejudis dan kesetiaan perjuangan kaum bukan Melayu di dalam PKR khususnya kaum Cina juga kerap menjadi polemik, kewujudan entiti di dalam entiti dan sikap selesa bergerak kalangan sendiri, mati idea atau canggung jika duduk di dalam kebersamaan menyeluruh. Kerap kali kedengaran program diatur tidak dibincangkan dan selalu bertindak atas kapasiti biro-biro tertentu.Mungkin sikap ini adalah reaction kepada tindakan kerja buat selama ini. Akhirnya kelihatan seolah-olah satu kapal dua nakhoda, sama lirik tapi alunan lagu berbeza. Ibarat pepatah, “bantal sama, mimpi lain-lain” . Amatlah malang jika ada kumpulan yang cuba mengambil kesempatan atas nama dan perjuangan ini. Lebih amat malang jika ianya benar-benar berlaku.
Namun atas apa permasalahan pun, ianya perlukan kebijaksanaan pimpinan untuk segera tangani. Sama ada kegagalan membentuk kebersamaan jati diri atau sebaliknya ianya adalah terletak atas pundak pemimpin untuk merungkaikannya. Mulai kini aspek persekitaran dalaman organisasi perlu dititik-beratkan dan dicernakan sebaik mungkin kerana ianya cerminan kepada umum sejauh mana komitmen dan bukti keseriusan Parti di dalam mendepani persoalan tuntutan reformasi politik dan sosioekonomi. Mana yang perlu dirungkaikan, segeralah dirungkaikan.
Mana mungkin untuk melakukan perubahan politik tanah air dan memperkasakan urus tadbir negara jika pendokong parti khususnya pemimpin dan ahlinya sendiri masih bersimpang-siur serta celaru akan prinsip dan asas-asas perjuangan parti yang didokonginya.
Sedari persoalan-persoalan di atas adalah cabaran sekitar perjalanan parti ke arah membina kebersamaan dan kekuatan, maka barisan kepimpinan yang bakal dipilih khususnya posisi Timbalan Presiden haruslah mempunyai iltizam, kejujuran, keberanian serta kebijaksanaan untuk menangani situasi tersebut. Perebutan jawatan bukan sekadar untuk mendapatkan pengiktirafan dan kuasa tetapi lebih dari itu ianya adalah tanggungjawab yang terpikul atas jawatan seseorang itu untuk memperkasakan organisasi Parti. Hidup adalah perjuangan, perjuangan perlukan cabaran, melepasi cabaran adalah intipati ke arah kejayaan. Begitu juga dengan Parti Keadilan Rakyat(PKR), parti perjuangan harapan rakyat dan masa hadapan yang punyai potensi untuk mengepalai perubahan dan mencatat nama gemilang di dalam lipatan kamus sejarah politik tanah air. Namun sehingga itu, cabaran-cabaran di atas perlulah segera disantuni.
Justeru antara Zahid, Azmin dan Mustaffa siapakah pemimpim berkepimpinan jeneral itu?